BN umum calon Melaka 28 Oktober

MELAKA 17 Okt. – Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Melaka ke-16, pada 28 Oktober ini, kata Pengerusinya, Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri Melaka itu berkata siapa juga yang tercalon, merekalah yang akan membawa obor perjuangan UMNO dan BN.

“Insya-Allah, saya akan membuat pengumuman calon pada 28 Oktober ini dan  berazam untuk menang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Tangga Batu di Sungai Udang, di sini, malam ini.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi BN negeri merangkap Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Rais Yasin; Ketua Pemuda UMNO,  Dr Muhamad Akmal Saleh; dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah,  Mahdzir Khalid.

Pada sidang media selepas majlis pula, Ab Rauf berkata, BN bertekad mempertahankan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada PRN lalu, namun berharap akan meraih lebih banyak kerusi pada pilihan raya kali ini.

Katanya, langkah itu sebagai pencetus semangat untuk jentera parti bekerja lebih kuat bagi memastikan kemenangan besar, termasuk di kerusi ditandingi calon parti lain yang menjalinkan persefahaman politik dengan BN.

Beliau sekali gus mengingatkan jentera parti berusaha memastikan BN terus mendapat mandat rakyat pada PRN kali ini supaya pengalaman perit pada 2018 tidak berulang.

“Cukuplah sekali dan kita tidak berbalik semula. Pastinya, pilihan raya kali ini, UMNO dan BN kembali menerajui pasukan membela rakyat Melaka demi rakyat, untuk rakyat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment