Kes minggu HFMD lebihi paras amaran

SHAH ALAM 13 Mei – Sebanyak 6,748 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di seluruh Selangor dengan bilangan kes mingguan melebihi paras amaran setakat 7 Mei lepas, kata Pengarah Kesihatan Negeri Dr Sha’ari Ngadiman.

Daripada bilangan tersebut, empat peratus daripadanya dimasukkan ke hospital bagi tujuan pemantauan lanjut dan selebihnya menerima rawatan pesakit luar.

Pada masa sama, terdapat 118 kluster HFMD dilaporkan dengan 95 peratus daripadanya melibatkan kluster di taska atau tadika serta pusat jagaan harian. Dalam kenyataan medianya, beliau berkata tiada kematian dilaporkan.

Dr Sha’ari berkata trend peningkatan penyakit tersebut di negeri ini berlaku terutamanya dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia tujuh tahun sejak awal tahun ini.

Katanya, 33 peratus kes jangkitan adalah berpunca daripada coxsackie virus A16 (CA16) dan 22 peratus daripada enterovirus 71 (EV 71) manakala selebihnya lain-lain jenis virus.

Dr Sha’ari berkata pada minggu epid ke-18 (ME 18) tahun ini, sebanyak 525 kes telah dilaporkan, namun menurun sebanyak 40 peratus berbanding ME sebelumnya.

Penurunan ini dipercayai berlaku berikutan cuti perayaan Aidilfitri dan kebanyakan pusat jagaan serta institusi pendidikan ditutup sepanjang tempoh berkenaan. Pada masa yang sama, tiada kluster HFMD dilapor semasa tempoh tersebut..

Related posts

Leave a Comment