PUTRAJAYA 3 Okt. – Kalendar Akademik Tahun 2027 akan bermula 4 Januari depan bagi sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan seluruh negara.
Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan (KPM), bagi Kumpulan A, sesi persekolahan sehingga 2 Disember 2027, manakala sekolah di negeri Kumpulan B sehingga 3 Disember 2027.
Kumpulan A membabitkan Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala Kumpulan B merangkumi sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
KPM juga menjelaskan tarikh cuti perayaan sepanjang tempoh sesi persekolahan 2027 turut diselaraskan yang membabitkan Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Aidiladha, Pesta Kaamatan, Hari Gawai Dayak, Wesak dan Krismas.
Semua sekolah hendaklah mematuhi peruntukan cuti tambahan oleh KPM sempena perayaan utama bagi sambutan Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Aidiladha, Hari Wesak dan Deepavali. Peruntukan cuti tambahan berkenaan tidak perlu diganti.
Kementerian juga menetapkan tarikh pembukaan sesi persekolahan tahun 2028 akan bermula pada 3 Januari 2028 bagi Kumpulan A dan Kumpulan B.
Langkah penyeragaman ini bertujuan memastikan keselarasan pembukaan sesi persekolahan 2028 di seluruh negara selain memudahkan perancangan pentadbiran sekolah serta pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lebih teratur dan efektif.
Nnn
