Teguran PM berdasar gambaran tidak tepat?

SEREMBAN 24 Sept. – Menteri Besar Ismail Lasim bimbang teguran Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadapnya dan bekas exco dibuat berdasarkan gambaran tidak lengkap mengenai peranan mereka dalam kemelut institusi diraja negeri itu.

Justeru teguran itu dikhuatiri memberi gambaran salah berkaitan fungsi Menteri Besar dan barisan Exco di Negeri Sembilan.

Sambil menghormati keprihatinan perdana menteri terhadap institusi diraja, Ismail menegaskan bahawa beliau dan barisan Exco tidak membuat keputusan untuk menurunkan atau melantik Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

“Saya mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri semalam yang menyifatkan tindakan saya dan ahli-ahli Exco sebagai biadap dan tidak bertamadun.

“Saya menghormati keprihatinan Perdana Menteri. Namun saya khuatir teguran itu berasaskan gambaran yang tidak lengkap mengenai peranan sebenar Menteri Besar dan EXCO dalam perkara ini,” katanya pada sidang media, hari ini.

Semalam media melaporkan, Perdana Menteri menyifatkan cubaan Ismail dan Exco menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai biadab dan tidak bertamadun.

Anwar dilaporkan menegaskan, tiada mana-mana pihak dalam pentadbiran negeri mempunyai kuasa atau mandat untuk bertindak sedemikian

Ismail berkata persetujuan mengenai proklamasi berkenaan bukan bermaksud mereka mengambil alih bidang kuasa Undang Yang Empat dan mereka juga tidak membuat keputusan untuk menurunkan atau melantik Yang di-Pertuan Besar.

Katanya, Exco membincangkan pendirian pentadbiran negeri terhadap proklamasi yang dikemukakan sebagai keputusan Undang Yang Empat.

“Persetujuan Exco terhadap tindakan pentadbiran susulan tidak bermaksud mengambil alih kuasa Undang atau menjadi pihak yang membuat keputusan mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar.

“Saya dan barisan Exco tidak akan mencampuri siasatan, pertimbangan adat, atau pemilihan yang terletak dalam bidang kuasa pihak-pihak yang ditentukan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959,” katanya.

Beliau berkata, segala persoalan mengenai kesahihan proklamasi, pematuhan tatacara dan kesan perlembagaannya hendaklah ditentukan menurut UUTKNS serta proses undang-undang yang berkenaan.

“Kami menghormati apa-apa perintah mahkamah yang berkuat kuasa,” katanya.

Related posts

Leave a Comment