Isham akan terima surat pemecatan

KUALA LUMPUR 8 Dis. – Presiden UMNO,  Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Isham Jalil akan menerima surat pemecatannya dalam masa terdekat.

“Beliau akan terima (surat), dalam waktu yang paling singkat,” katanya ringkas kepada pemberita di sini hari ini.

Dr Ahmad Zahid sebelum itu menghadiri Majlis Pelancaran MyNEXT dan Pertukaran Dokumen Memorandum (MoC) Transformasi Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET), sempena Karnival Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani, di Bukit Jalil.

Semalam Isham Jalil berkata walaupun belum menerima surat pemecatannya, beliau sudah disingkirkan daripada kumpulan WhatsApp MKT.

“Saya belum dapat surat. Yang saya tahu mereka telah keluarkan saya dari WhatsApp group MKT UMNO malam semalam (kelmarin),” katanya.

Isham yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO sebelum ini dipilih sebagai Ahli MKT sebaik berakhir pemilihan parti itu awal tahun ini.

Untuk rekod selain Isham, UMNO juga memecat beberapa pemimpinnya sebelum ini termasuk bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

UMNO juga menggantung beberapa pemimpinnya termasuk bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.

Related posts

Leave a Comment