SEPANG – UMNO mengambil inisiatif untuk melancarkan kutipan Tabung Sumbangan bagi membantu meringankan beban Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam melunaskan denda berjumlah RM50 juta yang dikenakan ke atasnya sebagai syarat bagi menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata inisiatif kutipan dana itu akan dilaksanakan secara telus, teratur dan mematuhi peraturan serta undang-undang berkuat kuasa.
Justeru beliau menyeru seluruh kepemimpinan, ahli dan penyokong parti serta mereka yang ingin bersama-sama memberikan sokongan supaya menyumbang secara sukarela.
Dalam kenyataannya, Ahmad Zahid berkata beliau dan seluruh kepemimpinan serta ahli UMNO merafak sembah menjunjung kasih ke hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas perkenan baginda memberi pengampunan bersyarat kepada Najib.
“UMNO menjunjung tinggi kebijaksanaan dan budi bicara Tuanku serta menzahirkan setulus-tulus penghargaan atas limpah ihsan baginda. UMNO menyambut dengan penuh kesyukuran keputusan yang membolehkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, limpah ihsan Tuanku membawa kelegaan yang amat besar buat Datuk Seri Najib dan keluarga serta akan sentiasa dikenang dengan penuh penghargaan oleh seluruh keluarga UMNO.
“Semoga Allah SWT terus mengurniakan kesejahteraan kepada Tuanku serta memelihara keamanan dan keharmonian negara,” katanya.
Ahmad Zahid juga menyifatkan perkembangan itu amat bermakna buat beliau dan keluarga, serta seluruh keluarga UMNO yang selama ini tidak putus menaruh harapan dan menitipkan doa.
“Pendirian UMNO sejak awal adalah untuk membawa permohonan ini dengan penuh tertib dan rendah hati, melalui saluran yang ditetapkan. Penghormatan kepada institusi Raja, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang akan terus menjadi pegangan kita,” katanya.
Beliau menyeru seluruh ahli UMNO menyambut perkembangan ini dengan rasa syukur, menjaga adab dalam setiap ungkapan dan menghormati segala proses yang ditetapkan.
Nnn
