KUALA LUMPUR 10 Sept . – Bagi membalas kehadiran Pemuda UMNO di Muktamar Pas di Pengkalan Chepa minggu lalu, Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden hadir pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar tiba kira-kira pukul 9 pagi sebelum menyertai perarakan masuk ke dalam dewan mengiringi Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.
Beberapa orang pimpinan Pemuda Pas turut menemani Afnan Hamimi.
Sementara itu, menerusi Facebooknya, Afnan Hamimi berkata penyatuan ummah bukan sekadar soal politik, tetapi soal masa depan negara.
“Kita mungkin datang daripada parti, warna dan latar yang berbeza. Namun apabila melibatkan kepentingan rakyat dan negara, mesti ada keberanian untuk duduk bersama, berbincang dan mencari titik persamaan.
Kerana akhirnya, Penyatuan Ummah yang kita bina ini bukan untuk kepentingan mana-mana pihak, tetapi demi kebaikan negara dan masa depan rakyat Malaysia. Berbeza wadah, tetapi negara yang kita mahu jaga tetap sama,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat Pemuda UMNO atas cenderahati yang diterima hari ni.
“Datang memenuhi jemputan, balik sekali dengan buah tangan. Yang paling penting bukan nilai pemberian tu, tapi tanda persahabatan dan hubungan yang kita sama-sama jaga.
Moga silaturahim ini terus baik, dan apa juga ruang yang ada dapat kita manfaatkan untuk kebaikan agama, rakyat dan negara.Terima kasih brother!,” katanya.
Nnnnn
