KUALA LUMPUR 10 Sept . – Agenda penyatuan ummah yang digagaskan bersama Pas bukan ancaman kepada masyarakat bukan Melayu-Islam, sebaliknya dilaksanakan berlandaskan prinsip keadilan untuk membela seluruh rakyat.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata perjuangan membela kepentingan Melayu dan memartabatkan Islam tidak seharusnya ditafsirkan sebagai usaha meminggirkan kaum atau agama lain.
Katanya, agenda penyatuan ummah perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan yang memberi manfaat kepada rakyat pelbagai lapisan tanpa mengira kaum dan agama.
“Apabila bercakap mengenai penyatuan ummah, saya mahu ingatkan sahabat Cina dan India bahawa ia bukanlah ancaman kepada sesiapa.
Membela Melayu bukan bererti mahu bermusuh dengan bukan Melayu, memartabatkan Islam bukan bererti menafikan hak penganut lain kerana dalam Islam, kita diajar kepimpinan mesti berlaku adil kepada seluruh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung sayap itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Turut hadir Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalannya, Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Khaled Nordin; serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Dr Ahmad Maslan, Reezal Merican Naina Merican, Mohamad Fatmi Che Salleh, Mohd Hasnol Ayub dan Ab Rauf Yusoh.
Hadir sama Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah; Setiausaha Pemuda UMNO, Mohd Hafiz Ariffin; Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon; Ketua Pemuda MIC, Arvind Krishnan; dan Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Menurut Dr Muhamad Akmal, kaum Cina dan India tidak perlu risau kerana Barisan Nasional (BN) mempunyai rekod dalam memastikan penyatuan politik tidak menghilangkan identiti kaum yang diwakili parti komponennya.
“BN sudah ada bukti. Hari ini, MCA tidak pernah kehilangan identiti Cinanya, MIC tidak pernah kehilangan identiti Indianya dan PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) juga tidak pernah hilang jati diri Bumiputeranya,” katanya.
Justeru Pemuda UMNO menegaskan tidak akan berundur daripada mempertahankan agenda penyatuan ummah, meskipun berdepan tekanan, penghinaan dan usaha untuk memecah-belahkan perjuangan berkenaan.
Dr Muhamad Akmal berkata, pergerakan itu bukan sahaja memainkan peranan dalam memulakan gelombang penyatuan, malah akan berada di barisan hadapan bagi memastikan agenda berkenaan terus dipertahan.
“Apabila kita dah mulakan gelombang penyatuan ummah ini, dah tentu ada yang panas hati, dah tentu ada yang merah mata… macam-macam fitnah dia hamburkan.
Kamu lukislah, kamu hinalah, kamu tekanlah, tetapi saya tidak akan sama sekali tunduk dan berpatah balik untuk menggadaikan penyatuan ummah ini,” katanya
Tambahnya, tugas Pemuda kini jauh lebih berat kerana selepas membuka jalan penyatuan tiga tahun lalu, pergerakan itu perlu memastikan penyatuan tersebut terus dipelihara dan diperkukuh.
Nnnnn
