KUALA LUMPUR 9;Sept. – UMNO perlu mengembalikan kekuatan sendiri, supaya akhirnya, tidak perlu bergantung dengan orang lain sama ada Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Pas apatah lagi DAP.
Timbalan Presidennya, Mohamad Hasan ketika mengingatkan demikian berkata, UMNO mesti berdikari, membangunkan kekuatan dengan cara dan strategi sendiri tanpa bersandarkan pada perhitungan parti lain, atau kekuatan mereka.
“UMNO tidak ada talian hayat lain, kecuali kebingkasan dan ketahanan sendiri. Justeru, tanamlah dalam fikiran kita bahawa, selagi kita bergantung pada parti lain, kita sebenarnya masih jauh dari kepulihan.
Jika kita bergantung kekuatan kepada orang lain, matlamat jangka pendek mungkin tercapai tetapi dalam waktu panjang, lebih memudaratkan UMNO,” katanya sambil mengingatkan pergantungan kepada orang lain, adalah formula politik tempang.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO 2026 di Dewan Merdeka di sini.
Mohamad berkata, UMNO punya harga diri dan maruah yang tiada timbal balasnya serta tidak boleh dibeli dengan kerjasama politik bermusim.
Katanya selepas lapan tahun UMNO tergelincir dari persada kuasa, UMNO telah melakukan banyak usaha untuk merawat, memulih dan membangunkan semula kebingkasan politiknya.
Bagaimanapun cabarannya menggunung dan luar biasa kerana sebelum 2018, UMNO tidak pernah sekali pun duduk di kerusi pembangkang di Parlimen dan
telah terbiasa menjadi nakhoda Kerajaan.
Katanya, UMNO menerokai pelbagai formuka untuk kembali menjadi pelengkap kestabilan politik Malaysia, dengan menyertai Kerajaan PN pada Mac 2020, mengetuai Kerajaan Keluarga Malaysia pada Ogos 2021 dan November 2022, bersama-sama menubuhkan Kerajaan Perpaduan sehingga hari ini.
“Semua penyertaan ini walau bagaimanapun UMNO itu tersingkir, ia adalah pelengkap yang penting untuk kestabilan negara. Angkubah penting untuk politik yang stabil di Malaysia mestilah melibatkan UMNO.
Cabarannya ialah, UMNO bekerjasama dengan mereka yang telah menjadi seteru politiknya selama berdekad-dekad dan berdepan dengan pelbagai tomahan, tuduhan dan kecaman. UMDAP menjadi siulan yang sangat menyakitkan.
Namun UMNO teruskan jua, kerana tiada yang lebih strategik dari mempunyai peranan dalam Kerajaan, dari hanya menjadi pembangkang,” katanya.
Mohamad berkata, UMNO terus bereksperimen dengan strategi politik sesuai semasa dengan pelbagai pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya negeri (PRN) dan ramai yang mengungkap pendirian UMNO semenjak 2018, sebagai ‘enigma politik’.
Katanya, pendirian politik yang senantiasa misteri, licik, kadang-kadang membingungkan, menimbulkan banyak teka-teki dari kejelasan, dengan UMNO dilihat senantiasa licik yang kadang-kadang tidak boleh difahami dengan mudah.
Bagaimanapun tegasnya, posisi ‘enigma politik’ ini semuanya menjurus kepada ‘survival UMNO’.
“Semenjak lapan tahun lepas, UMNO adalah dalam ‘mod bertahan hidup’. (survival mode) UMNO telah dan akan terus meneroka segala kemungkinan, merumus dan menilai segala ancaman, hanya untuk ‘survival politiknya’,” katanya.
Justeru beliau meminta dihentikan segala tohmahan kerana UMNO tidak menikam sesiapa serta tidak mengkhianati mana-mana pihak sebaliknya hanya melakukan ikhtiar terbaik, untuk berkelangsungan dan berfungsi sebagai sebuah parti dan perjuangan.
“Kita tidak membenci sesiapa atau memusuhi sesiapa. Kita hanya mahu UMNO ini bangkit dan bangun semula,” katanya.
(Foto umnoonline)
