Majlis Ulama UMNO diarah sedia blueprint

KUALA LUMPUR 8 Sept. – Majlis Ulama UMNO Malaysia diberi mandat menyediakan satu ‘blueprint’ cadangan tindakan persefahaman yang praktikal, merangkumi penyatuan pemikiran dan berorientasikan hasil dalam tempoh 100 hari.

Presiden UMNO,  Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia juga akan memfokus pengurusan perbezaan politik dan agenda utama ummah untuk dibentangkan dalam Majlis Perundingan Ummah, sekali gus menjadi asas kepada tindakan yang lebih tersusun dan berkesan.

“Jemaah Menteri juga sudah meluluskan Majlis Perundingan Ummah ini. Ketika saya menjadi Timbalan Perdana Menteri buat kali pertama, saya mewujudkan Majlis Perundingan Islam.

Sebelum itu, PM (Perdana Menteri) ketika ini mewujudkan Badan Perundingan Islam (BPI). Semua itu sudah tiada tetapi atas semangat multaqa ini, insya-Allah kita mewujudkan Majlis Perundingan Ummah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia 2.0 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Ulama UMNO,  Dusuki Ahmad, Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali; dan Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Ahmad Yahaya.

Ahmad Zahid berharap dapatan itu kelak akan melahirkan lebih ramai ilmuwan yang bukan sekadar menjadi suara ummah tetapi juga kekuatan yang membina.

“Ini adalah akad kita. Mudah-mudahan ini bukan majlis yang pertama dan terakhir untuk kedua-dua Dewan serta Majlis Ulama untuk berada di satu pentas.

“Saya sengaja menarik tangan dan ‘merelapaksakan’ Ketua Dewan Ulamak Pas untuk berada bersama-sama di atas pentas ini…. mudah-mudahan akan ada natijah yang terbaik dalam Multaqa ini,” katanya.

Ahmad Zahid menjelaskan perbezaan organisasi, pendekatan mahupun politik tidak seharusnya menjadi punca hubungan sesama umat terputus, apatah lagi apabila perkara kecil mengatasi kepentingan dan maslahat yang lebih besar.

“Kesatuan umat bukan bermaksud semua mesti sependapat. Kita boleh berbeza organisasi, pendekatan malah pendirian politik. Tetapi jangan sampai perbezaan memutuskan persaudaraan dan perkara kecil mengatasi maslahat yang lebih besar.

“Dalam urusan siasah pun begitu juga. Agama tidak boleh diperalatkan untuk melabel, memfitnah atau menanam kebencian sesama umat. Di sinilah perlunya ‘Islah Siyasi’ yang menjadikan agama sebagai pedoman untuk membawa amanah, keadilan, ihsan dan akhlak ke dalam politik.

“Agama tidak seharusnya menjadi minyak yang membakar persengketaan politik. Agama mesti menjadi air yang menyejukkan nafsu kekuasaan. Kerana apabila politik kehilangan akhlak, yang rosak bukan sahaja hubungan antara parti, tetapi hubungan sesama umat,” katanya.

Menurut Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu, ilmuwan tidak seharusnya menambah keresahan, sebaliknya perlu tampil meredakan keadaan dengan ilmu, fakta dan panduan yang tepat.

Katanya, ilmuwan mesti menjadi jambatan antara nas dengan realiti, pemerintah dengan umat dan perbezaan dengan persefahaman.

“Kita mungkin tidak sepakat dalam segala perkara, tetapi dalam soal akidah, pendidikan, keluarga, ekonomi, teknologi dan kekuatan institusi Islam, kita mesti tahu bila untuk berdiri bersama. Kita boleh berbeza jalan, tetapi jangan sampai kehilangan arah dan tujuan.

“Di sinilah, tatkala institusi umat sedang diasak dan keyakinan masyarakat cuba digugat, para ilmuwan mesti berani memainkan peranan – bukan menambah api, tetapi meredakan keresahan; bukan mempertahankan secara membuta tuli, tetapi menjelaskan dengan ilmu dan fakta,” katanya.

Tegasnya,  apabila pemerintah benar, maka berikan dukungan dan apabila tersilap berikan teguran agar masyarakat tidak terkeliru, dan apabila umat bersengketa maka berikanlah penyelesaian.

Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia, itu disertai tiga panelis undangan iaitu Mufti Perlis,Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Melaka Wira Abdul Halim Tawil dan Pengasas Pondok Rumi Sufi Jawi Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli.

Nnn

Related posts

Leave a Comment