PUTRAJAYA 4 Jan. – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya insiden pengeboman di kawasan perkuburan Kerman di bandar Kerman, Iran, yang menyebabkan ratusan cedera dan meragut kira-kira 95 nyawa, semalam.
Kementerian Luar dalam kenyataan berkata Malaysia dengan tegas menolak sebarang tindakan ganas dan aktiviti keganasan dalam semua bentuk dan menyeru mereka yang terbabit dibawa ke muka pengadilan dengan segera.
“Malaysia menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa dan keluarga yang kehilangan insan tersayang dalam tragedi ini, serta kepada Kerajaan dan rakyat Iran.
“Malaysia turut mendoakan kesembuhan segera kepada mereka yang cedera. Setakat ini, tiada laporan rakyat Malaysia terlibat dalam tragedi ini,” katanya.
Kenyataan berkenaan menyatakan, Kedutaan Besar Malaysia di Tehran akan terus memantau perkembangan semasa dan sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat terkini.
Rakyat Malaysia di Iran, khususnya yang berada di bandar Kerman, dinasihatkan untuk mengikuti perkembangan semasa, mengambil langkah berjaga-jaga, dan sentiasa mematuhi nasihat perjalanan oleh pihak berkuasa tempatan.
Untuk sebarang bantuan, Kedutaan Besar Malaysia di Tehran boleh dihubungi alamat di No 25, 2nd Alley, North Zarafshan St Shahrak-e-Gharb atau ditalian telefon 98 21 880724444 atau 98 21 88078606 dan Emel mwtehran@kln.gov.my atau mwconsular.teh@gmail.com.
