JAKARTA – Letusan Gunung Anak Krakatau yang menghamburkan abu volkanik ke ruang udara di beberapa wilayah di Indonesia itu menyebabkan pihak berkuasa menggantung operasi di lapan lapangan terbang.
Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta, hab penerbangan tersibuk Indonesia, menjadi yang pertama ditutup selepas abu volkanik dikesan di ruang udara berhampiran lapangan terbang berkenaan pada Ahad.
Kementerian Pengangkutan Indonesia memaklumkan sebanyak 1,558 penerbangan tertangguh atau dibatalkan akibat gangguan tersebut, dengan lebih 900 daripadanya membabitkan penerbangan ke dan dari Soekarno-Hatta.
Dianggarkan, kira-kira 170,000 penumpang terkandas selepas penggantungan operasi itu.
Perkembangan terbaharu menunjukkan penutupan lapangan terbang dilanjutkan sehingga pagi Isnin susulan perubahan arah angin yang menyebabkan abu volkanik terus menjejaskan ruang udara di barat Indonesia.
Menteri Pengangkutan Indonesia, Dudy Purwagandhi, berkata keputusan menutup lebih banyak lapangan terbang dibuat selepas ujian mendapati abu daripada letusan berkenaan telah merebak ke Jawa Barat.
Beliau turut mengarahkan syarikat penerbangan mempercepatkan proses bayaran balik tiket dan menyalurkan maklumat terkini kepada penumpang bagi mengelakkan kesesakan di terminal.
Letusan Anak Krakatau bermula lewat Jumaat malam, dua lagi pada Ahad dan menghasilkan aktiviti seismik berterusan, pancutan lava serta dentuman yang boleh didengari sehingga ratusan kilometer dari gunung berapi itu.
Menurut Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG), abu volkanik mencapai ketinggian sekitar 6,000 meter di sebelah timur gunung berapi itu dan sehingga 15,000 meter di sebelah barat menghala ke Sumatera.
Gangguan penerbangan memberi kesan kepada laluan antarabangsa utama termasuk Singapura, Kuala Lumpur, Doha, Sydney, Seoul, Hong Kong dan Amsterdam.
Beberapa syarikat penerbangan, termasuk Singapore Airlines, Scoot, Malaysia Airlines dan AirAsia, membatalkan penerbangan ke dan dari Jakarta.
