Terima jemputan atas semangat Melayu, Islam

KOTA BHARU 4 Sept. – UMNO menerima jemputan rasmi Pas untuk menghadiri Muktamar Pas Ke-72 dengan hati terbuka selepas perkara itu dibincangkan dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti, kata Setiausaha Agung, Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau yang mewakili Presiden UMNO berkata, penerimaan jemputan itu dibuat atas semangat sebagai orang Melayu dan Islam.

“Kami menerima jemputan secara rasmi dan kami bincang dalam Majlis Kerja Tertinggi dan sebagai orang Melayu dan orang Islam kita menerima jemputan ini dengan hati terbuka,” katanya kepada media selepas Ucapan Dasar Presiden Pas pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (PUTIK), di sini hari ini.

Menurutnya, Pas dijangka menghantar wakil ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada 8 hingga 12 September akan datang.

Mengenai jemputan termasuk kepada Presiden PKR, beliau berkata hanya menghantar jemputan kepada pihak yang menjemput mereka menghadiri persidangan agung.

Mengulas kemungkinan perkembangan berkenaan menjadi titik perubahan baharu dalam usaha penyatuan Melayu, Asyraf Wajdi menyifatkannya masih terlalu awal untuk diperkatakan.

Bagaimanapun , beliau menegaskan UMNO  mendukung penyatuan umma sebagaimana harapan majoriti rakyat, tanpa menafikan kewujudan bangsa dan agama lain dalam negara.

“Penyatuan ummah tidak bermakna kita menafikan bangsa-bangsa ataupun agama-agama lain. Teras negara kita, induknya Melayu dan Islam,” katanya.

Mengulas kerjasama UMNO dan Pas yang disifatkan berbeza berbanding Muafakat Nasional (MN) sebelum ini, Asyraf Wajdi menegaskan perkembangan itu bukan MN.

“Ini bukan MN. Ini kita sepertimana yang  disebutkan oleh Presiden, kita mendukung apa juga agenda yang boleh memastikan harapan orang Melayu melihat dua parti terbesar ini dapat kita ada pemuafakatan yang baik.

“Dan yang paling penting ia boleh memberikan suatu aspirasi besar negara yang mahu melihat keadaan negara yang lebih politiknya stabil, harmoni dan makmur,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, yang bercakap kepada media mengesahkan parti itu akan memenuhi jemputan ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang dijadualkan bermula 9 September ini.

Beliau berkata, Pas akan memutuskan pemimpinnya yang bakal dihantar sebagai wakil menghadiri perhimpunan itu.

“Kita akan menghantar wakil nanti, dan kita akan putuskan siapa wakilnya. Pada masa sama, kehadiran pimpinan UMNO diketuai Setiausaha Agung, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki, pada Muktamar Pas hari ini menandakan sikap keterbukaan dan sangat positif atas jemputan kita,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment