SEPANG 1 Sept. – Barisan kepemimpinan Parti Wawasan Negara (Wawasan) kini lengkap selepas pelantikan Dayang Saniah Awang Hamid dan Muhammad Faiz Rahmad, masing-masing sebagai Ketua Pergerakan Wanita dan Ketua Pemuda (Penaja).
Presiden Wawasan, Hamzah Zainudin, dalam satu kenyataan berkata pelantikan itu melengkapkan barisan kepemimpinan parti setelah pelantikan Jawatankuasa Pusat, penyelaras negeri dan ketua bahagian, sebelum ini.
Katanya, Dayang Saniah dan Muhammad Faiz berpengalaman luas dalam organisasi dan gerak kerja politik di peringkat akar umbi, selain memiliki keupayaan membina jentera, sekali gus memperkukuh kekuatan dan jentera Wawasan, terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Beliau yakin gandingan Dayang Saniah dan Muhammad Faiz bersama barisan kepemimpinan Wanita serta Pemuda dapat mengamati imaginasi wanita dan pemuda dengan memberi tenaga baharu, idea segar serta nilai tambah yang signifikan kepada parti, seterusnya melengkapi kekuatan kepemimpinan sedia ada.
“Kedua-dua sayap ini akan dibangunkan secara inklusif sesuai dengan identiti dan prinsip Wawasan sebagai parti berwajah Malaysia yang terbuka kepada semua rakyat, untuk bersama-sama membina masa depan negara melalui gagasan Konsensus Nasional Baharu,” katanya
Sebelum ini, Wawasan mengumumkan barisan 160 Ketua Bahagian Penaja yang akan memikul tugas mengurus hal ehwal parti itu di semua bahagian dan negeri.
Pada Jun lalu, Wawasan mengumumkan senarai penuh barisan kepemimpinan di peringkat Pusat, diterajui kombinasi tokoh politik veteran, bekas menteri, Ahli Parlimen dan profesional.
Berdasarkan senarai lantikan dikeluarkan parti itu, jawatan Pengerusi disandang tokoh politik veteran yang juga bekas menteri, Dr Rais Yatim.
Jawatan Timbalan Presiden pula disandang bekas Ketua Bersekutu Bersatu Johor, Tan Lek Khang, manakala lima Naib Presiden menampilkan gandingan veteran dan pemimpin muda.
Barisan Naib Presiden ialah bekas Pengerusi Bersatu Melaka, Abdul Rahim Thamby Chik, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan dan bekas Setiausaha Agung Pemuda MCA, Leong Kim Soon, Mohd Omar Mustapha dan Huan Cheng Guan.
Sementara itu, dua bekas pemimpin Bersatu yang dipecat sebelum ini, iaitu Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah dilantik sebagai Setiausaha Agung, manakala Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad sebagai Ketua Penerangan.
Nnnn
