MENJELANG Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Melaka, timbul pelbagai persoalan bukan sahaja dalam kalangan anggota parti politik tetapi juga para pemerhati dan penganalisis yang berada di luar parti.
Selepas Barisan Nasional (BN) berjaya membirukan Johor disusuli bersama Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan, tumpuan kini terarah kepada Melaka Bandaraya Bersejarah yang khabarnya akan mengadakan PRU DN Oktober ini.
Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh sebelum ini menegaskan untuk mempertahankan 21 kerusi yang dimenangi BN pada pilihan raya sebelum ini dan kemudiannya menyatakan kesediaan untuk berunding dengan parti lain.
“Maksudnya 21 kerusi itu menimbulkan 1,001 kemungkinan, tujuh lagi bolehlah dirunding, mungkin ada pertukaran kerusi atas sifat perundingan. Kita akan mengukur daripada pelbagai sudut kekuatannya, kelemahannya, kelebihannya dan bagaimana ia boleh membantu parti lain untuk menang,” jelas beliau.
Setakat ini nampaknya BN Melaka berdepan suasana yang agak rumit berbanding pendirian tegas ketika menghadapi pilihan raya Johor dan Negeri Sembilan..
BN akan berunding dengan siapa? Adakah bersama PN seperti di Negeri Sembilan atau dengan Pakatan Harapan (PH) susulan kenyataan Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail bahawa parti gabungan PKR-DAP-Amanah itu terbuka untuk membincangkan kerjasama dengan BN.
BN sebelum ini membentuk kerajaan negeri Melaka selepas menang 21 kerusi, sementara PH dengan lima kerusi dan dua lagi milik PN.
Bagaimanapun atas semangat kerjasama di peringkat Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022, kepemimpinan BN mengambil pendekatan inklusif, memberi ruang kepada wakil PH bersama-sama dalam pentadbiran negeri.
“Kedudukan PH pelengkap kepada perhiasan perpaduan yang digambarkan di Putrajaya, tanpa perjanjian rasmi yang menyebabkan kita boleh tuntut `harta sepencarian’ kerana `kita bersanding tidak berpelamin’,” kata Rauf.
Kenyataan itu susulan semua lima wakil rakyat PH (4 DAP 1 Amanah) meninggalkan kerajaan negeri sebagai bantahan terhadap kelulusan pindaan Perlembagaan Negeri yang membolehkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.
Dalam hal ini, adakah PH khususnya DAP sudah bersedia menunjukkan ‘muka tebal’ dan sanggup ‘menjilat ludah’ Julai lalu demi kelangsungan kuasa di sebuah negeri? Berbaloikah jika rundingan hanya akan menghasilkan tujuh kerusi?
Entah apa formula yang akan diguna pakai dalam rundingan kerjasama itu nanti ketika BN tidak mungkin mengurangkan kerusinya yang ada dalam genggaman kecuali ada sesuatu ‘tawaran PH’ yang memaksa atau BN terpaksa melonggarkan genggaman itu.
Bagaimana pula dengan PN yang sudah menunjukkan kerjasama yang baik ketika PRU DN Negeri Sembilan malahan turut membantu secara tidak langsung di Johor?
Jika gelombang biru mahu diteruskan, BN perlu memilih PN. Itu saja pilihan.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi PN, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, formula yang digunakan di Negeri Sembilan boleh dijadikan asas dalam rundingan antara kedua-dua gabungan itu bagi menghadapi pilihan raya di Melaka.
Katanya, dalam prinsip kerjasama antara parti, ia merentasi perbincangan untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen kerana ia boleh juga membabitkan pertukaran kerusi di peringkat negeri.
“Sebarang rundingan perlu dilakukan atas prinsip keikhlasan dan kesamarataan bagi memastikan kerjasama yang dicapai memberikan manfaat kepada semua pihak tanpa konsep parti lebih besar mendominasi parti lain. Jangan kita anggap kita ada abang besar atau adik kecil,” kata Timbalan Presiden Pas itu.
Jika gelombang biru merah seperti warna bendera Melaka, maka pilihan BN terpaksa membawa bersama PH dalam PRU DN.
Dan menarik juga untuk dinantikan jika berlaku rundingan BN-PH kelak dan ianya menjadi kenyataan, adakah kejayaan itu nanti secara tidak langsung akan ‘menyingkirkan’ Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh?
Akmal sebelum ini menegaskan beliau lebih mengutamakan prinsip perjuangan berbanding jawatan sebagai wakil rakyat dan tidak akan bertanding pada PRU DN Melaka sekiranya BN dan PH bekerjasama pada pilihan raya itu.
“Saya ulang pendirian saya semasa dalam podcast KS (Keluar Sekejap) iaitu jika BN-PH di Melaka, saya tidak akan bertanding sebab lebih rela pertahankan prinsip saya dari sebuah jawatan wakil rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Akmal yang sering menjadi sasaran DAP berhubung beberapa isu menyatakan keyakinannya bahawa BN mampu kekal dominasi Melaka tanpa kerjasama PH.
Satu lagi episod menarik untuk diperhatikan dalam politik UMNO @ BN selepas laluan mereka di Johor dan Negeri Sembilan dapat diharungi dengan baik walaupun terdapat suara-suara yang mahukan kerjasama BN-PH.
Khabarnya Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 28 Ogos ini akan membincangkan bentuk kerjasama BN pada pilihan raya di Melaka.
Menarik juga untuk diikuti sama ada pada Perhimpunan Agung UMNO yang dijadualkan berlangsung bulan depan, para perwakilan akan turut menyentuh bentuk kerjasama bagi menghadapi pilihan raya yang bukan sekadar di Melaka.
Begitulah tumpuan ‘luar biasa’ kepada Melaka. Dan untuk kali ketiga, bagi PH khususnya PKR sudah tentu tidak sanggup menjadi mangsa gelombang biru dan diaibkan dengan kekalahan bersiri selepas Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.
Justeru jika PH berjaya dalam rundingan dengan BN, Melaka boleh menjadi ‘batu loncatan’ untuk PH ‘bangkit’ (jika menang bergaya) dalam mengharungi PRU akan datang. Sebaliknya jika rundingan gagal adalah lebih baik PH pergi secara solo!
Andai rundingan itu berkaitan perkahwinan, apakah mungkin BN ‘kahwin dua serentak’. Ada yang sedia ‘bermadu’? Apa pun hasil rundingan, seperti kata Rauf “kali ini kita… ‘bernikah biar berkadi, biar bersaksi’,”.
Nnnnnnn
