BATAM – Serbuan dadah di Indonesia yang melibatkan pengawasan selama berbulan-bulan, berjaya merampas 1.3 tan ketamin bernilai puluhan juta dolar dari sebuah kapal berbendera asing.
Menurut Ketua Agensi Narkotik Kebangsaan, Suyudi Ario Seto, pihak berkuasa menerima maklumat pada bulan Februari lalu bahawa MV King Sun sedang belayar ke timur dari Thailand menuju ke Indonesia dengan kargo “mencurigakan”
Pada sidang akhbar semalam, beliau berkata, pada Khamis lalu, sebuah kapal perang tentera laut memintas kapal itu, ketika ia memasuki wilayah Indonesia.
“Pada 7 Ogos, pasukan gabungan menemukan 65 guni tersembunyi di dalam kapal. Selepas ujian, barang-barang itu diketahui mengandungi ketamin,” kata Suyudi sambil menambah muatan anggaran 1.3 tan bernilai sekitar 2.07 trilion rupiah (kira-kira RM474 juta).
Pihak berkuasa masih menggeledah bot itu untuk melihat sama ada terdapat lebih banyak lagi dan susulan itu lapan kru di atas kapal itu ditahan terdiri daripada tujuh warga Myanmar dan seorang warga Taiwan.
Media melaporkan bahawa kapal itu didaftarkan di bawah bendera Tanzania dan dipintas di perairan sekitar wilayah Kepulauan Riau berhampiran Singapura.
Pihak berkuasa masih menyiasat asal usul muatan, destinasi pelabuhan, siapa penghantar dan siapa penerima.
Bulan lalu, pihak berkuasa Indonesia merampas 3.37 tan metrik tunas ganja apabila mereka menggagalkan percubaan penyeludupan dari Thailand dan turut menahan 12 suspek.
Nnn
