SEREMBAN 22 Julai – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Muhammad Nazri Kassim mendapat suntikan semangat daripada Anwar Ibrahim yang memulakan kempen di kawasan yang ditandinginya.Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH hadir pada kempen pertamanya pada program Santai Petang Bersama Warga Ampangan sempena kempen Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan Ke-16 di sini, hari ini.
Ketibaan Presiden PKR itu disambut Nazri yang kemudiannya minum petang bersama penduduk di Medan Selera Ampangan serta berucap dan beramah mesra dengan mereka yang hadir program tersebut.
Dalam ucapannya, Anwar meminta rakyat Negeri Sembilan supaya terus memberi mandat kepada PH bagi memastikan kestabilan negeri serta dapat bergerak sehala dengan Kerajaan Persekutuan.
Pengerusi PH itu, berkata Menteri Besar Aminuddin Harun sudah melakukan yang terbaik sepanjang mentadbir negeri, justeru rakyat Negeri Sembilan perlu membuat pilihan yang baik.
“Saya nak mohon kerjasama kawan-kawan supaya biarlah politik kita stabil, negeri kuat, negeri satu hala, satu tujuan. Elak daripada apa-apa penyelewengan, jaga kepentingan rakyat.
“Buat pilihan yang baik dan bawa mesej yang Harapan buat supaya dapat selari dengan Kerajaan Persekutuan. Kita buat yang sebaiknya untuk rakyat kita,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk rakyat, namun mengakui masih terdapat ruang yang perlu diperbaiki.
Justeru, beliau berkata, kerajaan bersedia menerima teguran yang membina demi memastikan pentadbiran terus diperkasakan.
Beliau juga berkata, kerajaan negeri sentiasa menekankan tadbir urus yang baik dalam pembangunan dan pelaksanaan projek, selain memastikan kebajikan rakyat negeri itu terus terpelihara.
Sebagai contoh katanya, projek mendalamkan beberapa sungai di sekitar Ampangan dilaksanakan secara timbal balik, apabila wang yang diperoleh hasil jualan pasir sungai itu digunakan untuk projek berkenaan.
“Jika kontrak-kontrak dulu, yang korek pasir dapat duit, dia ambil, dia jual pasir tapi kerajaan sekarang, suruh dia korek (pasir), dia bayar balik (kepada kerajaan). Ini beza dia.
“Cerita songlap ini orang cukup marah, (dan kata) ‘Mana ada songlap? Mana ada bukti?’ Berbilion ringgit orang sakau pun tak tahu lagikah?” katanya.
Justeru, Anwar meminta pengundi supaya tidak memandang ringan dalam memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mewakili mereka.
“Bila kita pilih wakil rakyat dan parti, (jangan lihat) ada yang janji nak jaga Melayu, Cina, India tapi akhirnya jaga dia. Sebab itu saya minta kawan-kawan ambil keputusan yang baiklah. Jangan pandang ringan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata Nazri membawa tekad untuk memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan dapat merancakkan ekonomi setempat dan memberi manfaat secara langsung kepada penduduk, dengan dukungan kukuh Kerajaan Negeri dan Kerajaan MADANI.
“Insya-Allah, dengan mandat rakyat, saudara Nazri akan meneruskan khidmat dan ikhtiar ini di Ampangan,” katanya.
Nnnn
