Empat muka baharu EXCO Johor

JOHOR BAHRU 18 Julai – Empat muka baharu dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor bagi penggal baharu pentadbiran negeri di bawah kepemimpinan Menteri Besar,  Onn Hafiz Ghazi.

Bercakap pada sidang media di kediaman rasminya di Saujana, di sini tengah hari ini, Onn Hafiz juga memaklumkan enam EXCO dikekalkan portfolio masing-masing.

Muka baharu terdiri daripada Md Israk Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup sebagai EXCO Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri, manakala ADUN Panti, Dr Mohd Naqib Ghazali memegang portfolio EXCO Pendidikan dan Penerangan.

ADUN Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan dilantik sebagai EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, manakala ADUN Perling, P Pannir Selvam sebagai EXCO Perpaduan, Warisan dan Kebudayaan.

Enam EXCO dikekalkan portfolio masing-masing adalah  Mohd Jafni Md Shukor yang memegang portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Mohd Hairi Mad Shah (Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi) serta Mohd Fared Mohd Khalid (Hal Ehwal Agama Islam).

Turut dikekalkan, Mohamad Fazli Mohamad Salleh yang menerajui portfolio Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur, Lee Ting Han (Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia) serta Ling Tian Soon (Kesihatan dan Alam Sekitar).

Empat EXCO yang digugurkan ialah Khairin Nisa Ismail (EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri),  Zahari Sarip (EXCO Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri), Aznan Tamin (EXCO Pendidikan dan Penerangan) dan K Raven Kumar (EXCO Perpaduan, Warisan dan Kebudayaan).

Daripada empat EXCO terbabit, hanya Khairin Nisa tidak dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi DUN Serom pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) ke-16.

Majlis Istiadat Mengangkat Sumpah jawatan berlangsung di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, di Istana Bukit Serene, di sini pagi ini.

Ahad lalu, Onn Hafiz yang juga ADUN Machap mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua selepas Barisan Nasional (BN) mencatatkan kemenangan 48 kerusi pada PRU DN.

Nnn

Related posts

Leave a Comment