DAP calonkan 3 muka baharu di Negeri Sembilan

SEREMBAN 13 Julai – Setiausaha Politik kepada Menteri Pengangkutan, Ho Weng Wah akan dicalonkan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Temiang pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan ke-16, pada 1 Ogos ini.

Beliau adalah antara tiga muka baharu yang dipertaruhkan DAP daripada keseluruhan 11 kerusi DUN yang akan ditandingi parti itu mewakili Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata Weng Wah, 42, pembantunya di Pejabat Parlimen Seremban adalah calon baharu yang dipilih parti itu dan telah berkhidmat dalam DAP hampir 15 tahun.

“Meskipun kali pertama bertanding pilihan raya, beliau seorang yang sudah dikenali pengundi di Temiang dan memberikan khidmat terbaik kepada penduduk di sini.

Saya yakin Weng Wah mampu menggalas cabaran kita untuk mengekalkan kerusi Temiang pada PRN nanti,” katanya selepas mengumumkan Weng Wah sebagai calon DUN Temiang dan melancarkan Bilik Gerakan PH di Temiang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi DAP Negeri Sembilan, P Gunasekaran dan Setiausaha DAP negeri, Cha Kee Chin.

Sebelum ini, DAP Negeri Sembilan mengumumkan dua calon baharu iaitu Lee Kai Yet bagi kerusi DUN Mambau dan S Mugunthan (Seremban Jaya).

Loke berkata, parti membuat penilaian menyeluruh setiap kali menghadapi pilihan raya termasuk mengenal pasti potensi calon baharu yang ingin diketengahkan sebagai sebahagian daripada strategi meremaja dan memenangkan parti.

“Bukan semua penyandang perlu ditukar. Ia bergantung kepada pelbagai faktor terutama mempunyai rekod perkhidmatan baik dan diterima di kawasan.

“Setiap kali pilihan raya, kita akan membuat penilaian dan melihat potensi untuk mengetengahkan muka baharu.

“Memandangkan PRN kali ini diadakan lebih awal daripada jangkaan, proses peremajaan parti tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh seperti dirancang,” katanya.

PH akan mengumumkan senarai penuh calon pada 14 Julai di Dataran Melang, Kuala Pilah mulai pukul 7.30 malam.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment