Bekas Ketua Pengarah AKPS sertai Wawasan

SEPANG 10 Julai – Bekas Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Hazani Ghazali dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Wawasan Negara bagi memperkukuh kepemimpinan parti.

Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara, Saifuddin Abdullah berkata, pelantikan Hazani yang berpengalaman luas dalam bidang keselamatan dan pentadbiran awam diyakini mampu memberi nilai tambah kepada parti.

Menurutnya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat sulung Jawatankuasa Pusat yang dipengerusikan Presiden Parti Wawasan Negara, Hamzah Zainudin pada Khamis.

“Mesyuarat Jawatankuasa Pusat turut melantik penyelaras-penyelaras negeri sebagai persediaan memperkukuh jentera parti dan penyelarasan bersama Perikatan Nasional,” katanya dalam kenyataan.

Bekas Setiausaha Bersatu Perlis Senator Azahar Hassan yang mengumumkan keluar parti dan melepaskan semua jawatan dalam parti itu antara yang dilantik sebagai penyelaras negeri..

Saifuddin berkata, parti itu turut memutuskan untuk menyertai PRN Negeri Sembilan dengan tekad menawarkan kepemimpinan berjiwa rakyat yang benar-benar berintegriti dan berwibawa.

Menurutnya, penyertaan itu berteraskan Agenda RESET dan Gagasan Konsensus Nasional Baharu, sekali gus mencerminkan kesediaan parti memperluaskan khidmat serta memperkukuh peranannya dalam membina landskap politik yang lebih matang, progresif dan segar.

“Pada masa sama, Wawasan Negara komited menjadi wadah yang menyatukan kekuatan rakyat, menawarkan dasar berpandangan jauh serta membantu membina sebuah Malaysia yang lebih stabil, berintegriti dan makmur,” katanya.

Beliau berkata, pelantikan penyelaras negeri mencerminkan kesungguhan parti membina jentera yang tersusun, dinamik dan bersedia menghadapi pilihan raya.

Selain Senator Azahar bagi Perlis, turut dilahtik adalah Abdul Razak Khamis (Kedah),  Mohamed Farid Mohamed Zawawi (Kelantan), Abdul Aziz Ismail (Terengganu), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Pulau Pinang),  Zainol Fadzi Paharudin (Perak),  Asmawi Harun (Pahang).

Suhaimi Mohd Ghazali (Selangor), Ad Afnan Shahruddin (Wilayah Persekutuan), Badrul Hisham Shahrin (Negeri Sembilan), Rahim Tamby Chik (Melaka),  Zulkifli Bujang (Johor), Lt. Madya (B) Duke Anak Janteng (Sarawak) dan Arifin Tobias (Sabah).

Nnnn

Related posts

Leave a Comment