Tiada cadangan swastakan kebumi jenazah

SEPANG 9 Julai – Projek pembangunan 104,000 lot kubur di Semenyih dijangka dapat mengatasi masalah kekurangan tanah untuk pengebumian jenazah umat Islam di Wilayah Persekutuan sehingga 28 tahun.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Hanifuddin Roslan, berkata projek itu yang dijangka siap pada 2029 dilaksanakan secara kaedah pertukaran tanah di antara Route Edge Sdn Bhd dan kerajaan.

Katanya, syarikat itu akan membangunkan jalan pintas keluar masuk dari Sungai Lalang ke Lebuhraya Lingkaran Kajang (Lebuhraya SILK) sepanjang 4.34 kilometer dan menyediakan satu tapak perkuburan awam Wilayah Persekutuan di lot PT3458.

“Pembangunan tapak perkuburan ini berkonsepkan Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS) membabitkan penyediaan tapak kubur sehingga 104,000 lot yang mampu menampung unjuran penggunaan sehingga 28 tahun.

Selain itu, pihak syarikat juga akan membina kemudahan seperti pejabat pentadbiran, surau, ruang pengurusan jenazah, kuarters, pondok pengawal dan kemudahan infrastruktur yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hanifuddin berkata, apabila siap pembangunan tapak perkuburan itu, ia akan diserahkan pengurusannya kepada JAWI.

Katanya, apabila beroperasi, JAWI bertanggungjawab sepenuhnya mengendalikan proses pengurusan jenazah, termasuk jenazah tidak berwaris serta pengebumian dan penyelenggaraan tanah perkuburan seperti lapan TPIRS sedia ada di Wilayah Persekutuan.

“Ingin ditegaskan bahawa JAWl tidak pernah bercadang untuk menswastakan urusan pengebumian jenazah umat Islam di Wilayah Persekutuan.

“Malahan hartanah yang terbabit dalam projek yang bakal dibangunkan ini masih kekal di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan yang diwartakan sebagai Tanah Perkuburan Awam seluas 222.68 ekar,” katanya.

Hanifuddin berharap penjelasan itu dapat memberi kefahaman kepada umat Islam di Wilayah Persekutuan terhadap isu penyediaan tapak pengebumian jenazah umat Islam yang baharu.

Katanya, ia bagi memastikan kapasiti tanah perkuburan awam umat Islam mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan selaras dengan ruang tanah perkuburan yang semakin berkurangan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment