JEDDAH – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam kelulusan awal Knesset (Parlimen) Israel terhadap rang undang-undang (RUU) bagi mengharamkan laungan azan dan menyifatkan ia serangan secara langsung terhadap syiar Islam dan tempat suci umat Islam.
Justeru Sekretariat Agung OIC menegaskan cadangan RUU itu yang dikenali sebagai ‘Undang-Undang Muazin’ tidak sah dan terbatal, sambil menyatakan bahawa ia adalah langkah perundangan yang bersifat diskriminasi dan perkauman.
Ia juga satu pelanggaran terang-terangan terhadap kebebasan beragama dan beribadat, selain hak budaya dan agama yang dijamin di bawah undang-undang antarabangsa serta undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.
Menurut OIC, rang undang-undang itu menandakan peningkatan berbahaya dalam siri undang-undang, keputusan dan dasar Israel yang menyasarkan kewujudan rakyat Palestin serta identiti Arab dan Islam.
Pertubuhan itu menegaskan sekatan terhadap laungan azan melanggar kewajipan Israel di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik,Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat serta instrumen antarabangsa lain yang melindungi hak untuk mengamalkan upacara keagamaan secara bebas tanpa diskriminasi atau sekatan.
Masyarakat antarabangsa, khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), agensi khususnya serta semua pihak antarabangsa yang berkaitan digesa mengambil tindakan segera menghentikan langkah dan dasar Israel yang menyalahi undang-undang serta membatalkan cadangan rang undang-undang itu dan undang-undang diskriminasi lain.
Menurut OIC, tindakan itu penting bagi memastikan kebebasan beribadat dihormati, melindungi tempat suci Islam, serta memastikan Israel sebagai kuasa pendudukan dipertanggungjawab atas pelanggaran berterusan terhadap undang-undang antarabangsa dan prinsip legitimasi antarabangsa.
Nnnn
