PUTRAJAYA 12 Jun – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor pada 11 Julai manakala PRU DN Negeri Sembilan pada 1 Ogos.
Pengerusi SPR, Ramlan Harun, berkata bagi PRU DN Johor, hari penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun ini, manakala hari mengundi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai.
Manakala bagi Negeri Sembilan, hari penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai manakala hari mengundi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos.
Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 27 Jun 2026 (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam, 10 Julai 2026 (Jumaat) bagi PRU DN Johor Ke-16.
Bagi urusan PRU DN, Negeri Sembilan Ke-16 ditetapkan mulai pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 18 Julai 2026 (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam, 31 Julai 2026 (Jumaat).
Bercakap pada sidang media di sini, hari ini, Ramlan berkata, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRU DN Johor adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan April Tahun 2026 yang dikemas kini sehingga 31 Mei 2026.
Katanya, DPPR bagi PRU DN Johor mengandungi 2,727,926 pemilih yang terdiri daripada 2,703,175 orang pengundi biasa manakala 12,041 tentera serta pasangan dan 12,710 polis serta pasangan.
DPPR bagi PRU DN Johor Ke-16 dijadualkan akan mula dijual pada 23 Jun ini.
Bagi PRU DN Negeri Sembilan Ke-16 pula, DPPR yang akan digunakan adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan April Tahun 2026 yang dikemas kini sehingga 4 Jun 2026.
DPPR bagi PRU DN Negeri Sembilan Ke-16 ini mengandungi seramai 889,490 orang pemilih yang terdiri daripada 867,151 orang pengundi biasa, 16,884 orang tentera serta pasangan dan 5,455 orang polis.
DPPR bagi PRU DN Negeri Sembilan Ke-16 dijadualkan akan mula dijual pada 23 Jun ini.
Ramlan berkata, SPR melantik seramai 56 Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh 187 Penolong Pegawai Pengurus bagi menjalankan proses PRU Dewan Negeri Johor Ke-16.
Katanya, bagi menjalankan proses PRU DN Negeri Sembilan Ke-16 pula, SPR melantik lapan Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh 95 Penolong Pegawai Pengurus.
PRU DN Johor Ke-16 dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM86.8 juta manakala PRU DN Negeri Sembilan dianggarkan memerlukan RM80.6 juta.
Beliau berkata bagi menggalakkan pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari mengundi, SPR akanmelaksanakan kempen Jom Kita Undi.
Kempen itu melalui pelbagai saluran media termasuk di media elektronik, media sosial, hebahan melalui siar raya dan pemasangan kain rentang di lokasi-lokasi strategik tumpuan awam dan tempat- tempat lain yang bersesuaian.
