Pas nilai semula kerjasama dengan Bersatu
MARANG 22 Mei – Pas akan menilai semula kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) berikutan satu persatu percanggahan serta tindakan negatif yang dilakukan oleh rakan sekutunya itu.
Presidennya, Abdul Hadi Awang berkata, tindak tanduk Bersatu itu melibatkan semangat setiakawan dalam menghadapi krisis termasuk di Perlis dan Negeri Sembilan serta desakan memecat Exco Bersatu di Kedah.
Katanya, di samping itu tindakan Bersatu menolak hasrat untuk memperkukuh PN dengan menyekat keahlian parti-parti Melayu-Islam serta parti bukan Islam yang tidak ekstrem adalah sesuatu yang tidak menyenangkan.
Menurut beliau, Pas mahu memperbanyakkan lagi penyertaan komponen dalam gabungan tersebut demi memperkasakan agenda Melayu-Islam, namun langkah itu tidak dipersetujui pihak berkenaan.
“Hal-hal seperti ini akan kita kaji dan teliti satu persatu untuk melihat tindakan selanjutnya. Pilihan raya ini ada untung ruginya dan melibatkan soal sokongan kita.
Kalau menjejaskan Perikatan Nasional dalam pilihan raya, maknanya kita tidak mengikut apa yang sepatutnya,” katanya pada sidang akhbar di kediamannya di Rusila, di sini hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan; Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Diminta mengulas lanjut sama ada Pas akan bergerak solo pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang jika tiada kata sepakat dicapai, Abdul Hadi menegaskan parti itu tidak akan bersendirian memandangkan Pas masih memegang peranan sebagai pengerusi PN.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak sebarang kemungkinan berhubung status keahlian Bersatu dalam gabungan itu menjelang PRU ke-16 (PRU16) nanti.
“Itu satu kemungkinan yang tidak boleh dijawab sekarang sebab ia belum berlaku. Biar ia berlaku dahulu. Dalam politik ini ada banyak kemungkinan. Cuma untuk masa hadapan, Bersatu tidak boleh lagi berbuat macam dahulu,” jelasnya.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai dakwaan bahawa Pas sudah dua kali ‘dipermainkan’ oleh Bersatu, Abdul Hadi berkata, Pas memilih untuk mengambil pendekatan bersabar, namun mengingatkan bahawa kesabaran itu ada hadnya.
“Kita sabar, kita tidak kecewa, tetapi kesabaran ada batasnya,” katanya.
Nnn
