NEW SOUTH WALES – Polis Australia memandang serius tiga surat ugutan yang dihantar ke Lakemba Mosque, masjid terbesar negara itu hanya beberapa jam sebelum bermulanya bulan Ramadan.
Susulan itu, polis melancarkan siasatan surat yang mengandungi gambar seekor babi dilukis dengan tangan serta ugutan untuk membunuh “umat Islam”.
Menurut laporan penyiar tempatan, surat itu turut merujuk kepada lelaki yang melakukan pembunuhan beramai-ramai di Christchurch.
Dua surat terdahulu yang dihantar ke masjid itu dalam beberapa minggu kebelakangan ini termasuk satu yang menggambarkan bangunan berkenaan terbakar.
Pemimpin komuniti berkata perkembangan terbaharu itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, memandangkan beberapa ribu jemaah menghadiri solat di masjid itu sepanjang Ramadan.
“Kami menerima begitu banyak pertanyaan tentang sama ada selamat untuk pergi bersolat,” kata Setiausaha Lebanese Muslim Association Gamel Kheir yang menguruskan masjid itu.
