SEPANG 19 Mei – Bekas Exco Negeri Selangor Ronnie Liu Tian Khiew percaya lima prinsip Rukun Negara tidak boleh difahami secara terpilih, tetapi perlu dihayati secara menyeluruh sebagai asas budaya politik negara.
Katanya, lima prinsip iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang dan Kesopanan dan Kesusilaan sebenarnya merupakan satu semangat kebangsaan yang lengkap.
Liu berkata, sebagai seorang yang telah lama terlibat dalam perjuangan politik dan demokrasi negara, beliau amat menghargai keluhuran Perlembagaan sebagai asas utama kestabilan dan keharmonian Malaysia.
“Sebagai lambang penghormatan terhadap prinsip tersebut, anak patik sendiri diberikan nama “Zun Xian” yang membawa maksud menghormati Perlembagaan — sebagai simbol bahawa kelangsungan generasi masa depan juga harus dibina atas penghormatan terhadap undang-undang, Perlembagaan dan asas negara,” katanya.
Dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya, beliau berkata, politik era baharu tidak sepatutnya lagi dibina atas kebencian, emosi dan perpecahan, tetapi perlu dibina atas kematangan, rasional, rasa hormat dan masa depan negara.
“Apa yang rakyat harapkan hari ini bukan sekadar ahli politik terus bertelagah, tetapi ahli politik yang sanggup kembali kepada prinsip negara dan bersama-sama membina Malaysia yang lebih matang, stabil, bersatu serta penuh harapan untuk generasi akan datang,” katanya.
Kenyataan itu susulan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mencadangkan Liu, dan ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki, melawat Dataran Selangor bagi melihat plak monumen Rukun Negara, untuk mempelajari kepentingan menghormati institusi diraja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan.
Liu sebelum ini mendakwa satu titah atau kenyataan oleh Sultan Selangor mengenai penternakan babi tidak secara automatik menjadi ‘undang-undang mutlak’ dengan sendirinya.
Beliau mendakwa, sebarang dasar kerajaan atau larangan masih perlu mematuhi Perlembagaan negeri Selangor dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Penternakan babi kebanyakannya berada di bawah bidang seperti kerajaan tempatan, penggunaan tanah, peraturan alam sekitar, kesihatan awam, pelesenan oleh pihak berkuasa negeri.
Tegasnya, sesuatu titah berpotensi dicabar di mahkamah jika ada pihak berhujah bahawa ia bercanggah dengan perlindungan perlembagaan atau melangkaui kuasa undang-undang.
Dalam pada itu, Liu dalam kenyataan hari ini juga menjunjung kasih atas peringatan baginda kepada semua ahli politik agar kembali memahami semangat sebenar Rukun Negara, khususnya dalam suasana politik dan masyarakat yang semakin dipenuhi emosi serta perpecahan.
Bekas ADUN DAP Sungai Pelek itu berkata, titah baginda supaya ahli politik hadir ke Dataran Selangor sebanyak dua kali sebulan untuk mendekati rakyat dan menghayati semula Rukun Negara bukan sekadar aktiviti simbolik atau formaliti semata-mata.
Sebaliknya, ia membawa makna yang jauh lebih mendalam, iaitu mengingatkan semua ahli politik supaya kembali kepada asas pembinaan negara.
“Hari ini, masalah yang dihadapi Malaysia bukan sekadar persaingan politik, tetapi budaya politik yang semakin ekstrem, emosional dan saling menyerang sehingga semakin menjauh daripada semangat asal pembinaan negara.
Oleh itu, patik percaya mesej sebenar yang ingin disampaikan oleh Sultan Selangor bukan sekadar mengenai kehadiran ke dataran.
“Tetapi mengenai keperluan untuk semua ahli politik memahami semula makna:
menghormati negara, menghormati Perlembagaan, menghormati kedaulatan undang-undang, menghormati institusi Raja-Raja, serta menghormati sesama rakyat Malaysia,” katanya.
Nnnn
