Keanggotaan Rafizi, Nik Nazmi tergugur

KUALA LUMPUR 17 Mei – PKR mengesahkan keanggotaan dua Ahli Parlimennya, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad tergugur selepas mereka mengisytiharkan keluar parti dan mengambil alih Parti Bersama Malaysia (BERSAMA).

Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh, berkata keputusan dibuat mengikut Fasal 9(1)(c) dalam Perlembagaan parti selepas menerima hasrat keluar parti daripada bekas Timbalan Presiden dan bekas Naib Presiden itu.

“PKR sudah menerima rakaman ucapan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang umum mengosongkan kerusi Parlimen dan keluar daripada parti, hari ini.

“Pengisytiharan itu adalah jelas bertepatan dengan peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan.

Ia menyatakan dengan jelas bahawa kerusi ahli Dewan Rakyat hendaklah menjadi kosong jika dia tidak lagi menjadi anggota parti politik terbabit selepas dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fuziah juga memaklumkan akan merujuk dua kes membabitkan Ahli Parlimennya kepada Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, mengenai status mereka sebagai Ahli Parlimen, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa sama, beliau berkata, PKR akan menentukan keanggotaan Ahli Parlimen lain yang hadir program sama.

Dalam satu majlis hari ini, Rafizi dan Nik Nazmi, mengesahkan akan mengambil alih sebuah parti politik dikenali Parti Bersama Malaysia (BERSAMA).

Simbolik penyerahan parti itu yang akan diterajui Rafizi dan Nik Nazmi selepas ini, dibuat pada majlis pengumuman hala tuju politik dua pemimpin itu di Petaling Jaya.

Ahli Parlimen PKR lain yang kelihatan hadir dalam majlis sama ialah Wong Chen (Subang), Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju) and Lee Chean Chung (Petaling Jaya).

Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan akan mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing berkuat kuasa esok dan akan memaklumkan menerusi surat rasmi mengenai keputusan meninggalkan PKR kepada Fuziah, Selasa ini.

Nnn

Related posts

Leave a Comment