SEPANG 16 Mei – Barisan Nasional (BN) Johor akan bertanding secara bersendirian bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi BN Johor, Onn Hafiz Ghazi dalam hantaran terbaharu di laman sosial hari ini memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas mengambil maklum pandangan, suara, harapan rakyat dan kepimpinan akar umbi UMNO dan BN Johor.
Pendirian BN Johor itu dibuat menjelang Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 yang berlangsung di Pusat konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, esok.
Konvensyen itu difahamkan akan memberi fokus kepada kerjasama dengan BN bagi menghadapi PRN serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, keputusan itu juga diambil selepas berbincang dengan pucuk kepemimpinan parti.
“Saya dengan rasa penuh insaf dan tanggungjawab menyatakan bahawa Barisan Nasional Johor akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Negeri akan datang.
“Bagi UMNO dan Barisan Nasional Johor, pendirian untuk bertanding di 56 kerusi DUN adalah tawaran yang jelas kepada rakyat bahawa kami bersedia untuk terus membentuk sebuah kerajaan yang stabil, kuat dan berkhidmat sepenuhnya kepada pembangunan negeri serta kesejahteraan Bangsa Johor,” katanya.
Penggal pentadbiran Kerajaan Negeri Johor dijadual berakhir pada April 2027.
Nnn
