43,000 alami kecederaan kekal di Gaza

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 43,000 daripada 172,000 rakyat Palestin termasuk kira-kira 10,000 kanak-kanak di Gaza mengalami kecederaan kekal sejak Oktober 2023.

Menurut Reinhilde Van de Weerdt, wakil WHO untuk wilayah Palestin yang diduduki anggaran yang dikemas kini itu mencerminkan kesan jangka panjang konflik ke atas penduduk Gaza dan sistem penjagaan kesihatan.

Beliau berkata, kecederaan anggota badan utama ialah kes tertinggi dengan lebih 22,000 direkodkan, diikuti lebih 5,000 amputasi traumatik, lebih 3,400 lecur besar, lebih 2,000 kecederaan saraf tunjang, dan lebih 1,300 kecederaan otak traumatik.

Bercakap kepada pemberita di Geneva, beliau berkata, lebih 50,000 kecederaan kini memerlukan pemulihan jangka panjang, kata Van de Weerdt.

Katanya, hampir 14,000 pesakit mendaftar untuk perkhidmatan pembinaan semula anggota badan antara Julai 2025 hingga bulan ini, dengan hampir separuh daripada mereka yang dinilai memerlukan pembedahan tambahan.

Sementara itu, disebabkan oleh kekurangan yang serius di Gaza, hanya 500 daripada 2,300 yang mengalami amputasi, dinilai antara September 2024 hingga bulan ini sudah menerima prostetik kekal.

Walaupun keperluan semakin meningkat, perkhidmatan pemulihan kekal sangat terhad, tanpa kemudahan pemulihan beroperasi sepenuhnya di Gaza.

Van de Weerdt berkata, lebih 400 pesakit kini sedang menunggu untuk katil pemulihan khusus, memaksa hospital mengeluarkan pesakit awal dan meningkatkan risiko hilang upaya kekal.

Beliau juga memberitahu sejak dua tahun lepas tiada peralatan pemulihan memasuki Gaza, manakala 18 penghantaran yang mengandungi kerusi roda, anggota palsu dan peranti pemulihan masih menunggu kelulusan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment