Musyawarah Nasional didaftar sebagai NGO

KUALA LUMPUR 10 Mei – Musyawarah Nasional akan didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bebas, dan bukannya gabungan parti, kata pengasasnya, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata sekretariat tetap yang ditubuhkan perlu mengambil tindakan itu bagi membolehkan Musyawarah Nasional menjadi platform membincangkan permasalahan, isu serta keresahan dibangkitkan orang Melayu.

Tegasnya, Musyawarah Nasional bukan milik mana-mana individu, kelompok atau parti politik sebaliknya milik semua yang ikhlas, yang mahu melihat bangsa ini berdiri dengan lebih yakin, bermaruah dan tersusun untuk berjaya membangun di tanah air sendiri.

“Jangan ditubuhkan sebagai sebuah gabungan parti, tetapi sebuah NGO yang menggabungkan fikrah seluruh orang Melayu, Islam di negara kita.

“Akhirnya, kita semua mahu Musyawarah Nasional menjadi wadah yang tersusun, sah, berwibawa dan berterusan. Ia tidak boleh menjadi majlis sehari atau seminggu, sebulan atau setahun.

Ia mesti menjadi gerakan jangka panjang,” katanya ketika berucap pada Sesi Rumusan dan Majlis Penutupan Musyawarah Nasional – ‘Keresahan Bangsa Melayu: Apakah Penyelesaiannya’, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Musyawarah Nasional, Abdul Ghani Othman.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, segala pembentangan dan cadangan yang dikemukakan pada hari ini hendaklah dirangkumkan dalam satu dokumen rasmi sebagai Rumusan Musyawarah Nasional Siri Pertama.

“Setiap teras hendaklah membentuk jawatankuasa tindakan bagi memperincikan cadangan kepada pelan pelaksanaan lebih jelas.

“Saya berharap supaya setiap dua bulan, pengerusi teras dengan jawatankuasa serta panel dilantik akan mengupas lebih mendalam setiap kertas yang dibentangkan tadi, menjadikan ini sebagai agenda Melayu, Bumiputera dan Islam,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, cadangan membabitkan kementerian, agensi serta institusi kerajaan pula hendaklah disusun sebagai syor dasar untuk dikemukakan kepada pihak kerajaan.

“Saya sendiri akan bawa. Tok Mat (Mohamad Hasan) sendiri akan bawa. Semua menteri-menteri yang mewakili kita, akan bawa.

“Tidak kira menteri itu daripada UMNO, PKR, Amanah… asalkan kita Melayu Islam, semua menteri itu bertanggungjawab membawa isu itu,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment