TEHRAN – Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) menyasarkan lokasi tentera Amerika Syarikat (AS) di Asia Barat sebagai tindak balas susulan serangan udara Washington ke atas Iran.
Menurut kenyataan pejabat media IRGC yang disiarkan agensi berita Tasnim dan IRNA, pasukan tentera laut Iran melancarkan serangan ke atas beberapa lokasi yang menempatkan pasukan AS, namun tidak memperincikan lokasi atau butiran operasi tersebut.
Dalam kenyataan sama, IRGC mengecam tindakan AS yang didakwa melancarkan serangan udara ke kawasan pesisir Iran.
IRGC turut mendakwa tindakan itu mencabuli perjanjian yang berkaitan dengan pengurusan keselamatan dan pergerakan di Selat Hormuz, laluan perdagangan penting dunia.
Menurut IRGC, berdasarkan Artikel 5 dalam memorandum persefahaman, terdapat pengaturan antara pihak berkuasa berkaitan bagi mengawal lalu lintas di Selat Hormuz bersama Iran.
Namun, mereka mendakwa tindakan AS yang “menghasut pelbagai pihak” telah cuba menggugat komitmen tersebut.
IRGC turut memberi amaran bahawa sebarang tindakan agresif lanjut akan dibalas dengan lebih tegas.
Perkembangan ini menandakan peningkatan ketegangan antara Iran dan AS, khususnya berkaitan keselamatan di Selat Hormuz, yang merupakan laluan kritikal bagi perdagangan global.
Penganalisis melihat pertukaran tuduhan dan tindakan balas antara kedua-dua pihak berisiko mencetuskan konflik lebih besar, dengan implikasi terhadap kestabilan serantau dan ekonomi dunia.
Nnnn
