Konvensyen PH di Johor Bahru 17 Mei

KUALA LUMPUR 8 Mei  – Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 di Johor Bahru pada 17 Mei ini antara lain bertujuan memperkukuh kesepaduan kepemimpinan dan menyelaras gerak kerja politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Menurut satu kenyataan, program yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor itu akan memberi fokus kepada pengukuhan ekonomi, kestabilan politik serta peningkatan keyakinan rakyat.

“Sebagai teraju Kerajaan Madani, Pakatan Harapan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan ekonomi negara, kestabilan politik serta keyakinan rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum ke-16,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil; Naib Presiden Amanah, Adly Zahari dan Naib Pengerusi DAP, Syahredzan Johan.

Konvensyen bertemakan ‘Tekad Madani, Harapan Rakyat’ akan berlangsung dari pukul 8 pagi hingga 6 petang, dijangka menjadi platform penting untuk memperincikan hala tuju gabungan berkenaan dalam mendepani cabaran semasa negara.

Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan amanat khas kepada perwakilan pimpinan utama gabungan berkenaan bagi memperkukuh kesiapsiagaan politik.

Kali terakhir konvensyen PH diadakan adalah pada 2022 dan penganjuran kali ini menunjukkan kesungguhan gabungan itu memperjuangkan isu rakyat.

Penganjuran semula ini mencerminkan komitmen berterusan Pakatan Harapan dalam memperkukuh organisasi, memperkasa agenda reformasi dan memastikan aspirasi Kerajaan Madani terus dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment