RON97, RON95 tanpa subsidi naik, diesel kekal
PUTRAJAYA – Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia kekal RM5.12 seliter, manakala harga runcit RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing naik lima sen dan 10 sen bagi tempoh 30 April hingga 6 Mei 2026.
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF), harga runcit RON97 ditetapkan RM4.90 seliter, naik lima sen berbanding RM4.85 seliter sebelum ini, manakala RON95 tanpa subsidi naik 10 sen kepada RM3.97 seliter berbanding RM3.87 seliter minggu lepas.
Dalam tempoh sama, kerajaan mengekalkan harga bersubsidi secara bersasar kepada rakyat dan sektor tertentu, meliputi RON95 (BUDI95) pada RM1.99 seliter, diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pada RM2.15 seliter, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) pada RM2.05 seliter serta Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pada RM2.15 seliter.
Pelarasan harga minggu ini adalah berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) yang mengambil kira purata harga minggu terdahulu.
Harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi diselaraskan berikutan pergerakan harga pasaran antarabangsa.
Menurut MOF, harga petroleum yang kekal tinggi berbanding paras prakonflik turut dibelenggu kekangan bekalan minyak dan produk petroleum global, apabila kerosakan kemudahan pengeluaran dan penapisan minyak di Asia Barat memerlukan masa untuk dipulihkan.
