SEREMBAN 27 April – UMNO dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menyambut baik kesediaan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) untuk bekerjasama demi menjamin kelangsungan pentadbiran kerajaan.
Dalam satu kenyataan oleh ADUN BN Negeri Sembilan malam ini, mereka menghargai keprihatinan berkenaan bagi menjamin kelangsungan pentadbiran kerajaan, di mana kepentingan rakyat mengatasi kepentingan kepartian.
“Melalui kenyataan sokongan daripada lima ADUN PN, UMNO BN telah mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri,” kata kenyataan itu.
Ketika ini, BN menguasai 14 daripada 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan, manakala Pakatan Harapan (PH) mempunyai 17 kerusi dan dengan tambahan lima kerusi PN, BN kini mempunyai 19 kerusi DUN, mengatasi 17 kerusi yang diperlukan untuk mencapai penguasaan majoriti mudah.
“Dalam situasi luar biasa ini, kepentingan rakyat Negeri Sembilan mengatasi segala kepentingan kepartian.
“Kami berjiwa besar untuk mengetepikan perbezaan ideologi demi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk dengan segera,” kata kenyataan itu.
UMNO dan BN Negeri Sembilan turut menegaskan sentiasa bersikap pragmatik dan inklusif.
“Kami percaya bahawa penyatuan suara majotiti ADUN mampu memberikan naratif baharu yang lebih kukuh untuk memacu pembangunan negeri dan mempertahankan adat di negeri ini,” kata kenyataan itu.
Terdahulu Ketua Pembangkang, Mohamad Hanifah Abu Baker, menyatakan lima ADUN PN bersedia untuk bekerjasama dengan 14 ADUN UMNO/BN Negeri Sembilan untuk menjamin kestabilan Kerajaan Negeri dan kelangsungan pentadbiran Kerajaan Negeri bagi membangunkan Negeri Sembilan dan menjamin kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan.
Nnn
Nnnnn
