PUTRAJAYA 21 April – Pemilih baharu menunjukkan peningkatan apabila merekodkan 40,958 warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Mac lalu berbanding 38,705 orang pada Januari dan 36,141 sepanjang Februari 2026.
Pemilih baharu yang didaftarkan secara automatik itu boleh membuat semakan menerusi Daftar Pemilih Tambahan Bulan Mac Tahun 2026 (DPT BLN3/2026).
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Khairul Shahril Idrus, berkata DPT BLN3/2026 yang diperaku pada 17 April dan diwartakan 20 April turut mengandungi 11,134 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya serta 965 pemilih bertukar kategori pengundi atau status.
“DPT BLN3/2026 ini dibuka untuk semakan selama 30 hari mulai 20 April hingga 19 Mei 2026,” katanya dalam kenyataan.
SPR menyeru warganegara yang berumur 18 tahun ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Mac 2026 serta mana-mana pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran kategori pengundi atau status supaya menyemak nama mereka dalam DPT BLN3/2026.
Bagi pemilih berdaftar yang berhasrat membuat bantahan terhadap kemasukan nama pemilih yang bertukar ke bahagian pilihan raya boleh mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian SPR atau hadir ke pejabat pilihan raya negeri yang berkenaan.
Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal pejabat pilihan raya negeri di http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada pengarah pilihan raya negeri berkenaan untuk serahan serta pembayaran fi bantahan pada waktu pejabat sepanjang tempoh semakan DPT BLN3/2026.
