TEHRAN – Iran tidak akan menyerahkan kawalan ke atas Selat Hormuz, laluan perairan strategik yang dianggap sebagai antara aset utama negara itu untuk menghadapi musuh, kata Ahli Parlimen kanan Iran, Ebrahim Azizi.
Bekas komander Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) ity berkata, kawalan ke atas Selat Hormuz merupakan “hak mutlak yang tidak boleh dinafikan” Iran.
“Iran berhak menentukan laluan pelayaran, termasuk memberi kebenaran kepada kapal-kapal yang ingin melalui Selat Hormuz,” katanya dalam temu bual di Tehran sambil memaklumkan, langkah itu bakal dimaktubkan dalam undang-undang.
Beliau berkata Iran sedang membentangkan rang undang-undang di Parlimen berasaskan Perkara 110 Perlembagaan, melibatkan aspek alam sekitar, keselamatan maritim dan keselamatan negara.
Undang-undang ini akan dikuatkuasakan oleh angkatan tentera,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Dasar Luar Iran.
Menurut Azizi, konflik perang telah memberikan Tehran satu ‘senjata baharu’, apabila Selat Hormuz kini dianggap sebagai aset strategik dalam berdepan musuh.
Iran kini melihat keupayaannya mengawal laluan perkapalan antarabangsa termasuk kapal minyak dan gas — bukan sekadar sebagai alat rundingan semasa, malah sebagai pengaruh strategik jangka panjang.
