PH-BN runtuhkan kepercayaan rakyat

SEPANG 15 April  – Gabungan PH-BN akan tewas pada Pilihan Raya Umum ke-16 bukan disebabkan kekuatan serangan pihak lawan sebaliknya mereka sendiri yang meruntuhkan kepercayaan rakyat, kata Presiden Putra Dr Ibrahim Ali.

Katanya, mereka sendiri mengkhianati harapan yang pernah mereka jual dan  memusnahkan nama mereka dengan tangan sendiri.

“Hari ini rakyat sudah nampak formula sebenar kerajaan ini, kuat menipu, lemah mentadbir, kuat berjanji, lemah menunaikan, kuat menjaga imej, lemah menjaga hidup rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengingatkan dalam politik, kerajaan tidak tumbang hanya kerana orang marah sehari dua sebaliknya apabila rakyat hilang hormat, hilang kepercayaan di mana kemarahan, kekecewaan dan rasa tertipu bercantum menjadi hukuman senyap di peti undi.

“Sebab itu saya yakin, jika PH-BN terus angkuh, terus syok sendiri dan terus gagal memahami beban sebenar yang sedang menghancurkan hidup rakyat, maka PRU16 nanti mereka bukan sekadar kalah. Mereka akan bungkus,” katanya.

Beliau menyifatkan kerajaan PH-BN hari ini bukan lagi kerajaan yang layak dihormati rakyat, yang hanya petah bercakap, licik bermain persepsi dan pandai mencipta alasan, tetapi gagal pada tugas paling utama, iaitu melindungi kehidupan rakyat.

Katanya, rakyat hari ini bukan sekadar marah tetapi sudah muak, meluat dan hilang kepercayaan terhadap kerajaan.

“Setiap hari mereka bergelut dengan harga barang yang terus naik, belanja rumah yang makin menyesakkan, kos sekolah anak yang menghimpit, bil yang bertambah, hutang yang menimbun, dan poket yang makin kering,” katanya.

Menurut Ibrahim, sebelum berkuasa, merekalah juara paling kuat menjerit kononnya mahu membela derita rakyat, beban rakyat dijadikan modal politik, penderitaan rakyat dijual untuk meraih kuasa.

“Tetapi sebaik sahaja kuasa di tangan, topeng itu jatuh satu demi satu. Inilah wajah sebenar kerajaan Madani,  boleh bercakap panjang tentang reformasi dan masa depan negara, tetapi bila rakyat balik ke rumah dan buka dompet, yang ada bukan harapan, tetapi sesak nafas.

Bila minyak dan diesel naik, kerajaan atau menteri mengeluarkan pelbagai hujah, angka dan alasan. tetapi rakyat tidak hidup atas hujah menteri, tidak tidak beli beras dengan angka dan tidak bayar susu anak dengan sidang media.

“Jangan buat-buat bodoh. Bila minyak naik, yang terbakar bukan sekadar tangki kenderaan tetapi seluruh rantaian hidup rakyat,” katanya yang merujuk kenaikan kos pengangkutan dan penghantaran, harga barang dapur dan makanan.

Ibrahim berkata apa yang lebih menjijikkan rakyat bukan setakat beban itu sendiri, tetapi cara kerajaan melayan suara rakyat seolah-olah rakyat tidak faham ekonomi, dianggap tidak matang.

“Ini bukan kerajaan yang memahami denyut nadi rakyat. Ini kerajaan yang lebih sayang imej sendiri daripada kesusahan rakyat.

PH-BN jangan menipu diri sendiri. Sebelum isu minyak meletup pun, keyakinan rakyat memang sudah lama rosak. Rakyat sudah penat melihat janji dibohongi, alasan dikitar semula, dan cerita dipusing untuk menutup kegagalan sendiri.

Anak muda hari ini  tidak mudah ditipu dengan video cantik, poster lawa, slogan puitis dan ucapan berapi-api sebaliknya mereka menilai rekod, perangai dan keberanian sebenar ketika memegang kuasa,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment