Armizan pangku tugas KPDN

KUALA LUMPUR 30 Julai – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Armizan Mohd Ali diarahkan untuk memangku tugas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup buat sementara waktu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, Armizan diberikan tanggungjawab memantau dan menjalankan tugas Kementerian itu sehingga pelantikan baharu dibuat selepas selesai Pilihan Raya Negeri (PRN).

Anwar mahu mengambil sedikit masa untuk memilih pengganti Allahyarham  Salahuddin Ayub, berikutan tugasan dan hal ehwal di kementerian itu dilihat tidak terjejas ketika ini, namun tidak akan mengambil tempoh terlalu lama.

“Sementara ini Armizan diberikan tanggungjawab memantau dan menjalankan tugas dan Fuziah (Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh) pun dah faham betul (tugasan di KPDN), jadi boleh jalan.

Saya bincang nampak tidak ada gangguan (urusan kementerian). Saya minta juga Armizan tumpu agak lebih sikit di kementerian dan Fuziah akan bantu.

“Ketua Setiausaha KPDN juga ada. Saya fikir boleh. Saya tidak fikir terlalu lama (melantik menteri yang baharu),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2023 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelantikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang baharu, susulan kematian Salahuddin minggu lalu.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, pada jam 9.23 malam ketika dirawat di unit rawatan rapi HSB.

Beliau yang memulakan inisiatif Rahmah, dikejarkan ke Jabatan Kecemasan HSB pada 21 Julai lalu untuk rawatan kecemasan selepas mengalami mual dan muntah-muntah, sebelum pemeriksaan doktor pakar mengesahkan Salahuddin mengalami pendarahan otak.

Beliau kemudiannya menjalani pembedahan pada hari berikutnya, sebelum ditidurkan di bawah pengawasan rapi pakar pembedahan dan perubatan HSB.

Related posts

Leave a Comment