WASHINGTON – Presiden Donald Trump memberi amaran mana-mana bot serangan Iran yang menghampiri sekatan laut tentera Amerika Syarikat (AS) di sekitar pelabuhan Iran akan dimusnahkan, walaupun terdapat seruan antarabangsa supaya gencatan senjata dihormati dan rundingan disambung semula.
Tentera AS berkata, sekatan itu yang berkuat kuasa pada jam 1400 GMT, dikenakan ke atas semua kapal yang keluar atau cuba berlabuh di pelabuhan Iran.
Dalam satu hantaran di media sosial, Trump berkata, sebahagian besar angkatan laut Iran telah dimusnahkan semasa perang, namun jika mana-mana daripada beberapa “kapal serangan pantas” Iran yang masih tinggal menghampiri sekatan itu, “mereka akan segera dihapuskan.”
Beliau berkata 34 kapal telah melalui Selat Hormuz pada Ahad, jumlah tertinggi sejak perang bermula, namun angka itu tidak dapat disahkan.
Trump mengumumkan sekatan itu pada Ahad selepas delegasi yang diketuai Naib Presiden, JD Vance pulang dari pertemuan dengan pegawai Iran di Pakistan tanpa mencapai perjanjian untuk menamatkan perang yang bermula pada 28 Februari susulan serangan AS dan Israel ke atas Tehran.
“Saya benar-benar rasa bola sekarang berada di gelanggang Iran, kerana kami telah meletakkan banyak perkara di atas meja. Kami juga menjelaskan dengan sangat jelas garis merah kami,” kata Vance.
Beliau berkata, Washington mesti mengawal uranium diperkaya Iran, dan mesti ada mekanisme pengesahan untuk memastikan Tehran tidak membangunkan senjata nuklear pada masa depan.
Rabu lalu, AS dan Iran bersetuju dengan gencatan senjata dua minggu bagi membolehkan rundingan berlangsung, dan Pakistan selaku pengantara serta negara Teluk, Qatar masih menyeru supaya ia dihormati ketika usaha diplomatik diteruskan.
“Gencatan senjata masih bertahan dan ketika saya bercakap, usaha sepenuhnya sedang dijalankan untuk menyelesaikan isu-isu yang masih belum selesai,” kata Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dalam mesyuarat Kabinet.
Bercakap di Rumah Putih, Trump berkata, wakil Iran telah menghubungi untuk mencari jalan mencapai perjanjian selepas rundingan di Islamabad gagal, namun beliau tidak menyatakan pegawai mana yang menghubungi.
Sementara itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menyalahkan AS atas kebuntuan rundingan semasa panggilan telefon dengan rakan sejawatnya dari Arab Saudi, Putera Faisal Farhan.
“Malangnya, kami menyaksikan tuntutan berlebihan yang berterusan daripada pihak Amerika dalam rundingan, yang menyebabkan kegagalan mencapai keputusan,” katanya seperti dipetik kementeriannya.
Menteri Luar dan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani menggesa kedua-dua pihak menjamin kebebasan pelayaran dan tidak menggunakan laluan maritim “sebagai alat tekanan”, sambil menggalakkan Tehran dan Washington terus berhubung dengan pengantara.
Iran sebelum ini telah menutup selat itu kepada kapal yang dianggap musuh, hanya membenarkan kapal yang berkhidmat untuk negara yang dianggap mesra — seperti China — untuk melintasinya.
Nnnn
