ISTANBUL – Ketika wakil Amerika Syarikat (AS) dan Iran bersiap sedia untuk rundingan di Pakistan, pasukan tentera AS masih bergerak ke Asia Barat sekiranya operasi diperlukan.
Data penjejakan penerbangan terkini dan maklumat daripada seorang pegawai AS menunjukkan bahawa jet pejuang dan pesawat serangan telah pun tiba di rantau itu.
Menurut pegawai berkenaan, antara 1,500 hingga 2,000 anggota Divisyen Udara Ke-82 Tentera Darat mungkin tiba dalam tempoh beberapa hari dan pada masa sama, ribuan anggota tentera laut dan Marin juga sedang menuju ke rantau terbabit.
Seorang pegawai Tentera Laut berkata, USS George HW Bush dan kapal pengiringnya telah berlepas dari Virginia menuju Asia Barat pada akhir Mac dan kini berada di Lautan Atlantik.
Pegawai Tentera Laut lain berkata, USS Boxer dan kapal perang pengiring yang membawa Unit Ekspedisi Marin Ke-11 berlepas dari California pada pertengahan Mac dan kini berada di Lautan Pasifik.
Kapal-kapal itu dijangka mengambil masa lebih seminggu untuk tiba.
