KOTA BHARU 5 April – Perikatan Nasional (PN) masih belum menerima sebarang permohonan daripada Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin untuk menyertai gabungan itu, kata Setiausaha Agung, Takiyuddin Hassan.
“Setakat yang kami tahu, beliau tidak berada dalam mana-mana parti. Sehingga hari ini, tiada petunjuk beliau telah menyertai mana-mana parti dalam PN. Sesiapa yang mahu berada dalam PN mestilah berada dalam salah satu daripada empat parti,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas menambah, setakat ini tiada sebarang permohonan daripada Hamzah untuk menyertai parti itu.
PN ketika ini dianggotai empat parti komponen iaitu Bersatu, Pas, Gerakan dan Malaysian Indian People’s Party (MIPP) dan ketika ini, tiada parti baharu yang menyertai gabungan itu.
Terdahulu, Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden Bersatu, membayangkan partinya masih dalam gabungan PN dan status ‘rumah baharu’ yang bakal diumumkan membayangkan wadah politik mungkin sebuah parti sedia ada.
“Kekeliruan timbul apabila kita menggunakan istilah ‘rumah baharu’, sedangkan ia tidak semestinya merujuk kepada parti yang baharu ditubuhkan secara rasmi.
“Apabila kita kata rumah baharu, tanda tanya timbul adakah kita akan menubuhkan parti baharu ataupun parti yang sedia ada…jawapannya adalah tidak semestinya parti yang baharu ditubuhkan,” katanya.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata demikian ketika ditemui pada program Pidato Penyatuan Ummah sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-lima dan Himpunan Alam Melayu 2026 di pekarangan Kompleks Sukan negeri, di sini.
Ketika mengulas mungkin akan menyertai Pas, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang berkata, tidak salah partinya untuk menyertai parti itu.
“Ya…kemungkinan parti yang sedia ada…Insya-Allah, apa salahnya menyertai Pas, pada saya itu rumah baharu saya tapi rumah itu mungkin sudah tersedia ada,” katanya.
Mengulas mengenai pembabitan partinya dalam gabungan PN, Hamzah mencetuskan tanda tanya apabila memberikan bayangan bahawa entiti politik itu sudah menjadi komponen dalam gabungan berkenaan.
“Menyertai ataupun sudah ada dalam PN?. Sebab itu saya kata tadi kita kena tunggu…parti baharu saya tetapi parti itu mungkin sudah ada dalam PN,” katanya.
