Ramanan, Hassan Karim bertelingkah

JOHOR BAHRU 5 April – Penganjur Konvensyen Keadilan Johor terpaksa menghentikan siaran langsung susulan pertelingkahan melibatkan Naib Presiden PKR, R Ramanan yang sedang berucap di atas pentas dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang berada di dalam dewan sebagai peserta.

Pertelingkahan itu bermula apabila Hassan bangun mencelah bagi membantah ucapan Ramanan ketika itu yang dianggapnya sebagai menyasarkan individu tertentu, iaitu bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

“Ini adalah konvensyen, bukan tempat untuk menyerang individu,” kata Hassan yang kelihatan kesal sambil diperhatikan oleh perwakilan.

Susulan pertikaman lidah itu penganjur terpaksa menghentikan siaran langsung program berkenaan secara tiba-tiba, manakala pengamal media diiring keluar dari dewan.

Ramanan yang sebelum itu menyelar pengkritik dalaman dan mendakwa berlaku serangan terhadap PKR, bagaimanapun mempertahankan pendiriannya dengan menegaskan kesetiaan kepada parti mesti diutamakan.

“Apabila parti diserang, kita mesti mempertahankannya. Apa yang kita tidak boleh terima ialah serangan dari dalam,” katanya.

Ramanan turut beberapa kali mengulangi bahawa ketika itu adalah masa beliau untuk berucap.

Bagaimanapun, Hassan membantah dan mempersoalkan kewajaran mengkritik pemimpin yang tiada pada program itu, sekali gus tidak dapat mempertahankan diri.

“Saya tidak setuju. Ini adalah Johor,” kata Hassan sambil menegaskan individu tidak sepatutnya disasarkan ketika ketiadaan mereka.

Video yang dirakam oleh hadirin dan tersebar dalam talian menunjukkan pergeseran itu berterusan selepas siaran langsung dihentikan, dengan Ramanan terus mendesak supaya ahli bersatu dan menyokong kepemimpinan parti termasuk Perdana Menteri dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

“Apa yang saya minta hanyalah supaya kita menyokong Perdana Menteri kita, parti kita dan Presiden kita,” katanya.

Sementara itu,  Anwar dalam ucapannya berkata beliau mengambil positif teguran dibuat segelintir pemimpin jika ia dibuat secara baik dan bekerja tanpa mengharapkan habuan.

Beliau turut berseloroh dengan memetik nama Ahli Parlimen Pasir Gudang, itu :”Kita nak ramai macam itu, cuma jangan bising macam itu, pening ada 10 Pak Hassan di Johor. Letih, nasib ada satu,”.

Nnn

Related posts

Leave a Comment