MUAR 5 April – Timbalan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, menegur Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bahasa elok dan tidak perlu melabelkan orang lain dengan kata-kata tidak sesuai.
Beliau membuat teguran itu selepas Anwar melabelkan semua parti politik termasuk pihak kerajaan sebagai bebal susulan kritikan usaha kerajaan mengatasi kesan langsung ekonomi berhubung peningkatan harga minyak susulan krisis tenaga akibat konflik Asia Barat.
“Gunalah bahasa elok-elok. Tak payah nak melabelkan orang lain dengan kata-kata tidak sesuai,” katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh dan Dewan Undangan Negeri (DUN), Bukit Kepong, di Kompleks Sukan Pagoh, di sini hari ini.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata apa yang dinyatakan semua pihak baik pembangkang mahupun rakyat, ia menjurus kepada menyuarakan isu serta masalah dihadapi ketika ini.
Beliau berkata, sebagai Perdana Menteri, beliau sepatutnya bersifat terbuka dalam menerima pandangan serta menjadikannya sebagai satu cabaran.
“Bukan dia (Perdana Menteri) menempelak balik dengan kata-kata sebegitu. Beliau sepatutnya menerima kerana yang mengkritik bukan sahaja pembangkang tapi penyokong kerajaan pun sama…mereka pun marah.
“Kita tidak sepatutnya mengatakan orang bebal ke atau apa-apa sekalipun. Itu bahasa tidak elok. Jadi, dalam keadaan krisis, apa saja pandangan setiap pihak, itu bermakna pihak berkenaan lebih tahu daripada mereka.
Mereka menyuarakan pandangan tertentu dan kerajaan harus prihatin. Jadi kita kena sikap terbuka dan apa yang disuarakan itu adalah ikhlas dalam membantu menyelesaikan masalah,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu.
Muhyiddin berkata, ketika ini semua pihak baik sektor pengangkutan, pertanian mahupun perindustrian terkesan dan memerlukan satu kebijaksanaan dalam pengurusan yang bukan sahaja cekap.
Anwar pada program rasmi di Ipoh, Perak semalam menegur pemimpin semua parti jangan bebal tidak tentu arah susulan kritikan dilontar terhadap kerajaan dalam menguruskan krisis.
Perdana Menteri dilaporkan berkata kerajaan berusaha sedaya upaya bagi mengekalkan harga petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter iaitu harga antara paling rendah di dunia, selain masih menanggung RM6 bilion nilai subsidi sebulan bagi diesel yang dikhaskan bagi sektor tertentu.
Katanya, kerajaan menetapkan harga RON95 itu antara paling rendah di dunia, selain menurunkan had subsidi daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan kerana kegawatan dialami.
