SEPANG 5 April – Ketika Rafizi Ramli mempertahankan kritikan terbukanya bukan mahu melemahkan parti, kalangan pimpinan negeri terus menggesa PKR mengambil tindakan terhadap bekas Timbalan Presiden itu yang didakwa membawa lebih banyak ‘kerosakan’.
Terkini, Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang, A.Kumaresan menyifatkan Ahli Parlimen Pandan itu hipokrit dan dilihat merosakkan parti dari dalam yang memerlukan tindakan tegas demi maruah PKR dan mengembalikan keyakinan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban itu, berkata Rafizi perlu berundur, tidak boleh terus berada dalam parti sambil merosakkan dari dalam.
“PKR adalah parti yang berkhidmat untuk rakyat, bukan untuk mana-mana individu. Rafizi tidak boleh terus berada dalam parti. Justeru, demi maruah parti dan keyakinan rakyat, hanya satu langkah wajar diambil iaitu beliau berundur,” katanya.
Kumaresan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR berkata, kenyataan Rafizi bahawa beliau ‘lebih bahaya’ sekiranya keluar parti adalah satu bentuk ugutan politik yang tidak boleh diterima, dan ia adalah politik sabotaj dalaman.
“Seorang pemimpin yang benar-benar ikhlas berjuang tidak akan sesekali mengugut parti sendiri demi mendapatkan leverage politik.Kenyataan ini jelas menunjukkan perjuangannya kini bukan lagi berteraskan rakyat atau reformasi, sebaliknya berkisar kepada kepentingan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mempersoalkan tindakan Rafizi yang dilihat hanya lantang bersuara ketika tidak lagi berada dalam kedudukan kuasa.
“Sepanjang tiga tahun berkhidmat sebagai Menteri Ekonomi, beliau tidak bersuara seperti hari ini. Mengapa kini hanya lantang di pentas podcast selepas tidak lagi memegang jawatan?
“Lebih membimbangkan, tindakan ini dilihat sebagai usaha mengalihkan perhatian daripada isu skandal pelaburan ARM berjumlah RM1.12 bilion yang didakwa membabitkan pegawai di bawah pejabatnya,” katanya.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Johor, Dr. Zaliha Mustafa dalam kenyataan bersama timbalannya Md Ysahrudin Kusni juga menegaskan tindakan
Rafizi berpotensi memberi kesan kepada keharmonian dalaman dan kekuatan parti.
PKR Johor berpandangan, pendekatan menyuarakan isu secara terbuka, khususnya membabitkan tuduhan serius, wajar ditangani dengan lebih berhati-hati supaya tidak menjejaskan disiplin parti dan kepercayaan anggota.
Jika matlamat Rafizi adalah memperkukuh parti, adalah lebih baik segala pandangan disalurkan melalui ruang yang sesuai supaya tidak memberi ruang kepada pihak luar untuk memanipulasi keadaan.
“MPN Keadilan Johor turut melihat bahawa situasi ini bukan lagi sekadar keberanian bersuara, tetapi boleh disalah tafsir sebagai tindakan yang memberi kesan kurang baik kepada kestabilan parti.
Justeru, pendekatan yang lebih berhemah amat diperlukan,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Setiausaha MPN Sarawak Mahmud Epah, berkata tindakan Rafizi tidak boleh dipandang ringan kerana didakwa membebankan usaha reformasi dan menimbulkan polemik dalam kalangan akar umbi.
“Siri kenyataan dan tindakan terbuka Rafizi mutakhir ini tidak boleh dipandang remeh. Ia jelas menunjukkan satu corak yang membebankan imej PKR dan menggugat usaha murni reformasi.
Maruah parti tidak boleh terus digadaikan dengan polemik dicetuskan individu yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada penyelesaian, bukannya punca masalah, fitnah dan mengkhianati parti,” katanya.
Bagaimanapun Rafizi semalam mempertahankan tindak tanduknya dan menegaskan kritikan terbuka yang disuarakannya bukan bertujuan melemahkan parti, sebaliknya mahu kerajaan membaiki kelemahan dalam pentadbiran.
Katanya, isu yang dibangkitkan bukan soal parti, tetapi menyentuh kepentingan negara dan integriti institusi awam, seperti soal pakatan sulit membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bercakap kepada media selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Pandan Indah, Rafizi, berkata, pendekatan mengkritik kerajaan secara terbuka bukan perkara baharu, malah telah diamalkannya sejak lebih 15 tahun lalu.
“Budaya menegur secara terbuka adalah sebahagian prinsip perjuangan PKR, dan tidak wajar berubah hanya kerana parti kini berada dalam kerajaan. Kalau ada isu, mereka perlu jawab, tak kisah daripada parti mana.
Yang berbahaya jika PKR sekarang berubah apabila sudah jadi kerajaan. Dulu isu yang menyentuh kepentingan rakyat, apabila disuarakan dianggap budaya yang baik. Tapi apabila PKR dalam kerajaan, isu sama dibawa dan tak dijawab.
“Kalau setiap perkara boleh dijawab dengan berkesan, isu itu akan mati, itu akan menunjukkan kemampuan kerajaan menangani perkara berkaitan kepentingan rakyat,” katanya.
Rafizi mengingatkan, cubaan menyerang atau mematikan watak pemimpin yang membuat kritikan terbuka akan tambah membesarkan sesuatu isu dan memberi kesan buruk kepada kerajaan dan parti, apabila lebih ramai rakyat menyokong pemimpin terbabit.
Menjawab gesaan Setiausaha PKR Sarawak Mahmud Epah agar keluar parti kerana menjadi liabiliti terbesar kepada agenda reformasi, Rafizi berkata, tindakan sedemikian hanya akan membahayakan kedudukan PKR.
“Kalau saya keluar parti, lagilah kuat saya bersuara, lagilah bebas, lagilah berbahaya kepada PKR. Jadi masalah PKR ialah apabila cuba elak menjawab isu-isu sebenar itu,” katanya.
Nnnn
