Situasi di Gaza tidak boleh berulang di Lubnan

BEIRUT – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, memberi amaran bahawa situasi di Gaza tidak boleh berulang di Lubnan.

Beliau berkata Hizbullah perlu menghentikan serangan ke atas Israel, manakala Israel juga mesti menghentikan operasi ketenteraan dan serangan di Lubnan yang memberi kesan besar kepada orang awam.

Semalam, Hizbullah berkata pihaknya melancarkan lebih 80 serangan terhadap Israel iaitu jumlah terbesar yang didakwa kumpulan yang disokong Iran itu sejak permulaan perang terbaharu.

Ia juga menyatakan sudah menyerang tentera Israel di sembilan bandar sempadan.

Dalam usaha menamatkan pertempuran, Presiden Lubnan, Joseph Aoun, menggesa rundingan langsung yang belum pernah berlaku sebelum ini dengan Israel, namun cadangan berkenaan setakat ini ditolak.

Ketua Hizbullah, Naim Qassem berkata kumpulannya tidak akan menerima cadangan itu kerana menganggap apabila rundingan diadakan dengan musuh Israel ketika serangan sedang berlaku, itu adalah paksaan untuk menyerah diri.

Agensi berita rasmi Lubnan, National News Agency (NNA), melaporkan serangan udara Israel dan bedilan artileri di beberapa lokasi di selatan dilancarkan semalam.

Agensi itu juga menyatakan bahawa pesawat perang musuh melancarkan serangan di pinggir selatan Beirut, selepas amaran pemindahan terbaharu dikeluarkan tentera Israel.

Tentera Israel berkata ia menyerang sasaran Hizbullah di seluruh Lubnan semalaman, termasuk sebuah pusat arahan di pinggir selatan Beirut.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, memaklumkan tenteranya sedang memperluaskan ‘zon penampan’ di dalam wilayah Lubnan.

Netanyahu berkata tentera Israel sudah mewujudkan zon keselamatan sebenar di dalam Lubnan dan sedang memperluaskan zon berkenaan ketika pasukan daratnya cuba mara lebih jauh ke dalam Lubnan.

Israel yang menduduki selatan Lubnan selama kira-kira dua dekad sehingga tahun 2000, sekali lagi menghantar tentera darat ke Lubnan, dengan menyatakan ia cuba menguasai kawasan sehingga ke Sungai Litani, kira-kira 30 kilometer (km) dari sempadan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment