JAKARTA – Indonesia tidak akan mengorbankan kepentingan nasional dalam usaha memeterai perjanjian perdagangan, telah melalui pertimbangan teliti sebelum diluluskan, termasuk pengurangan tarif daripada 32 peratus kepada 19 peratus.
Presiden Prabowo Subianto ketika mempertahankan perjanjian dengan Amerika Syarikat (AS) di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) berkata, rakyat mesti percaya bahawa beliau mengutamakan kepentingan nasional Indonesia.
“Jika saya menilai kepentingan nasional kita terancam oleh mana-mana perjanjian, maka kita boleh menarik diri daripadanya,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Agensi Komunikasi Kerajaan Indonesia semalam..
Prabowo berkata kerajaan mengekalkan pilihan untuk merundingkan semula sekiranya perjanjian itu dianggap memudaratkan, sambil menyatakan bahawa kedua-dua pihak telah bersetuju memasukkan klausa pelarasan.
“Kami bersetuju bahawa jika terdapat perkara yang tidak boleh diterima atau bertentangan dengan kepentingan kami, maka klausa pelarasan akan dibuat,” katanya sambil menambah bahawa peruntukan sedemikian, setakat pengetahuannya, tidak terdapat dalam perjanjian dengan negara lain
Beliau berkata Indonesia juga berpotensi meraih manfaat daripada perjanjian itu apabila sebanyak 1,819 komoditi strategik negara, termasuk kopi dan minyak sawit, dikenakan tarif sifar peratus.
“Dalam perjanjian ini, terdapat 1,819 komoditi kita dengan tarif sifar peratus. Sudah tentu ini bermanfaat,” katanya.
Prabowo berkata, harga pasaran antarabangsa mesti diguna pakai dalam pengurusan mineral kritikal, dengan penyertaan pihak asing dibenarkan selagi peruntukan kerajaan dipatuhi.
