BAITULMUQADDIS – Iran melancarkan lebih 400 peluru berpandu balistik sejak bermulanya perang di Asia Barat, tetapi tentera Israel mendakwa kira-kira 92 peratus daripadanya berjaya dipintas.
Angka itu diumumkan sehari selepas peluru berpandu Iran mengenai dua bandar di selatan Israel, menyebabkan kira-kira 175 individu memerlukan rawatan perubatan.
“Kami mencatatkan kadar pintasan yang sangat tinggi. Kami mempunyai kira-kira 92 peratus kadar kejayaan pintasan,” kata jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Nadav Shoshani kepada wartawan.
Satu daripada bandar yang diserang semalam ialah Dimona, yang dipercayai menempatkan simpanan senjata nuklear Israel yang tidak diisytiharkan.
Kesan letupan peluru berpandu itu berlaku kira-kira lima kilometer dari kemudahan nuklear di bandar berkenaan.
Sebuah lagi bandar berhampiran yang turut menjadi sasaran ialah Arad, yang menyaksikan kerosakan besar pada beberapa bangunan.
Shoshani berkata, peluru berpandu yang dilancarkan pada Sabtu tidak berbeza daripada peluru berpandu balistik dan setakat ini hanya terdapat empat serangan yang berjaya mengenai sasaran secara langsung sepanjang perang berkenaan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengakui Sabtu adalah sebagai ‘malam yang amat sukar’ dan menggesa penduduk supaya menuju ke pusat perlindungan setiap kali siren dibunyikan.
Beliau melawat Arad dan berikrar untuk terus memburu pegawai Pengawal Revolusi Iran (IRGC).
Nnnn
