JAKARTA – Laporan Skytrax 2026 menunjukkan Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta mengekalkan kedudukannya dalam kelompok 10 terbaik di dunia bagi perkhidmatan imigresen.
Lapangan terbang itu juga berada di kedudukan ke-22 dalam senarai 100 Lapangan Terbang Terbaik Dunia, tempat kelapan dalam kategori Lapangan Terbang Terbaik di Asia serta kedua bagi kategori lapangan terbang yang mengendalikan 50 juta hingga 60 juta penumpang setahun.
Pemangku Ketua Pengarah Imigresen Yuldi Yusman berkata pencapaian itu mencerminkan pembaharuan dan inovasi berterusan kementerian dalam perkhidmatan imigresen, khususnya di lapangan terbang antarabangsa.
Katanya, ia merupakan pencapaian yang membanggakan apabila kekal dalam kedudukan 10 terbaik Skytrax dari tahun lalu hingga tahun ini.
Skytrax, sebuah firma perunding penerbangan berpangkalan di London yang menilai dan menyenaraikan perkhidmatan lapangan terbang di seluruh dunia, mengumumkan Anugerah Lapangan Terbang Dunia 2026 pada 18 Mac.
Yuldi berkata Indonesia menunjukkan kestabilan dalam kualiti perkhidmatan seperti yang dicerminkan melalui penilaian pelanggan dari pelbagai negara, merangkumi aspek masa menunggu, pengoptimuman pintu automatik (autogate), ketersediaan laluan keutamaan serta profesionalisme kakitangan.
