KUALA LUMPUR 21 Mac – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri di Istana Negara, di sini.
Majlis yang dihadiri lebih 600 tetamu itu turut disertai Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Turut sama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; menteri-menteri Kabinet dan perwakilan asing, antaranya United Kingdom, Iran, Azerbaijan dan Indonesia.
Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul dan Ketua Hakim Negara, Wan Ahmad Farid Wan Salleh turut hadir.
Antara juadah disajikan ialah makanan popular Johor, iaitu kacang pool dan sup tulang merah, selain lemang, ketupat, rendang dan nasi beriani.
Majlis diserikan dengan persembahan lagu raya daripada Quintet Pancaragam Diraja Malaysia (PDRM) dan persembahan khas oleh penyanyi yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Datuk DJ Dave.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis, baginda berdua berkenan meluangkan masa beramah mesra bersama tetamu.
Terdahulu, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau Utama Istana Negara.
