GENEVA – Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC) melancarkan rayuan kecemasan berjumlah 40 juta franc Swiss (kira-kira AS$51.5 juta) bagi menyokong operasi kemanusiaan di Iran susulan konflik yang berterusan.
Rayuan itu akan membantu Persatuan Bulan Sabit Merah Iran memperluas bantuan kepada kira-kira lima juta penduduk di 30 wilayah terjejas dalam tempoh 16 bulan akan datang.
Tumpuan kepada mereka yang terkesan akibat kerosakan infrastruktur, risiko kehilangan tempat tinggal dan gangguan kepada perkhidmatan asas.
Ketua Delegasi IFRC di Iran, Maria Martinez dalam satu kenyataan berkata, dengan keperluan kemanusiaan yang meningkat mendadak setiap hari, Rayuan Kecemasan ini akan membantu memperluas bantuan menyelamatkan nyawa dan memastikan sokongan sampai kepada mereka yang paling terjejas.
Sebanyak 529 cawangan IFRC kini terlibat dalam usaha tindak balas di 197 bandar, dengan lebih 2,100 pasukan respons serta lebih 6,500 kakitangan dan sukarelawan digerakkan.
IFRC berkata rayuan itu akan membiayai penyediaan tempat perlindungan kecemasan, bekalan bantuan, perkhidmatan kesihatan, sokongan air dan sanitasi serta bantuan psikososial.
Persekutuan itu juga memperuntukkan 1.5 juta franc Swiss (AS$1.9 juta) daripada Tabung Kecemasan Respons Bencana bagi menyokong operasi bantuan awal, menurut kenyataan itu
Pasukan kecemasan menjalankan operasi mencari dan menyelamat, menyediakan rawatan perubatan serta membantu komuniti yang terjejas.
NNNN
